Bursa dibuka rendah kembali meningkat

Bursa dibuka rendah kembali meningkat

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah namun kembali meningkat tidak lama kemudiannya, disokong oleh pembelian berterusan dalam saham-saham wajaran tinggi terpilih dalam keadaan sentimen bercampur-campur semalaman di Wall Street Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.20 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.02 mata kepada 1,455.31 daripada 1,449.29 sewaktu ditutup semalam.

Indeks utama dibuka rendah 1.63 mata kepada 1,447.66.

Sentimen pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 253 berbanding 187, manakala 295 kaunter tidak berubah, 1,558 tidak diniagakan dan 31 lain digantung dagangan.

Dagangan Bursa Malaysia bermula tidak menentu
Jumlah dagangan sebanyak 445.04 juta unit bernilai RM178.50 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng. berkata FBM KLCI meningkat hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan disokong oleh pembelian berterusan daripada dana asing.

“Walaupun pasaran dijangka mengalami pembetulan kecil untuk menilai peningkatan sebanyak 70 mata sejak awal Julai, kami berpandangan bahawa indeks itu dalam keadaan yang kukuh untuk meraih paras tertinggi berikutnya.

“Untuk hari ini, kita mungkin melihat sedikit pembetulan sekali-sekala, sekali gus meramalkan indeks berkenaan akan bergerak dalam jajaran 1,445-1,455,” katanya.

Menurutnya, Wall Street bercampur-campur semalaman berikutan peniaga menilai kenaikan kadar 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan AS dan pendapatan kukuh daripada syarikat-syarikat permodalan besar, terutamanya Alphabet dan Boeing.

Di dalam negara, saham wajaran tinggi Bursa seperti Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah dua sen kepada RM9.02 dan RM7.02, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.09 dan Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM9.64, manakala CIMB turun dua sen kepada RM5.46.

Bagi saham aktif, Datasonic Group meningkat enam sen kepada 51 sen, Advance Synergy menokok setengah sen kepada 16.5 sen dan Econpile Holdings meraih satu sen kepada 26 sen, manakala Hong Seng Consolidated dan Tance Holdings masing-masing tidak berubah pada sembilan sen dan 56 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 40.60 mata kepada 10,690.97, Indeks FBMT 100 naik 38.33 mata kepada 10,378.28, Indeks FBM 70 menambah 32.14 mata kepada 3,992.52 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 51.93 mata kepada 10,984.76, manakala Indeks FBM ACE merosot 25.62 mata kepada 5,294.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 60.95 mata kepada 16,163.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.72 mata kepada 168.95, Indeks Perladangan meningkat 29.82 mata kepada 7,241.99, manakala Indeks Tenaga rendah 2.30 mata kepada 832.12.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )