Bursa dibuka rendah kemudia melonjak kembali

Bursa dibuka rendah kemudia melonjak kembali

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini agak rendah tetapi berubah menjadi tinggi tidak lama kemudian apabila selera terhadap belian bertambah baik.

Pada 9.29 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.45 mata kepada 1,474.44 daripada 1,473.99 pada penutupan urus niaga Selasa.

Pasaran dibuka 1.14 mata lebih rendah pada paras 1,472.85.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 225 berbalas 201, manakala 275 kaunter tidak berubah, 1,513 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 500.95 juta unit bernilai RM185.38 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, penyusutan bursa tempatan semalam boleh dianggap sebagai sesuatu yang sihat sementara aktiviti memburu saham berharga murah sepatutnya meningkat untuk saham-saham yang kurang nilai walaupun kebimbangan terhadap varian sampingan COVID-19 dijangka terus menjejaskan sentimen pelabur.

“Namun, kami percaya pembukaan semula sempadan perjalanan China mungkin menyediakan pertumbuhan yang baik untuk kebanyakan negara ekonomi global dengan satu lagi pusingan permintaan terpendam,” katanya dalam satu nota semalam.

Firma pembrokeran itu seterusnya menyatakan ia mengekalkan pendirian positif terhadap sektor minyak dan gas serta perladangan memandangkan harga komoditi asas yang kekal kukuh mampu menolak naik sektor berkenaan.

“Selain itu, sektor pelancongan juga diunjur mempamerkan pemulihan dengan aktiviti pelancongan meningkat di tengah-tengah pembukaan semula sempadan China. Sementara itu, sektor penjagaan kesihatan boleh mengambil kesempatan daripada kebimbangan terhadap varian COVID-19,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.31, CIMB meraih empat sen menjadi RM5.74, TNB meningkat satu sen kepada RM9.31, Maybank susut tiga sen menjadi RM8.68, Petronas Chemicals turun 13 sen kepada RM8.47 manakala IHH Healthcare lemah satu sen kepada RM6.

Bagi saham aktif, Hong Seng Consolidated naik setengah sen kepada 22.5 sen, L&P Global meningkat tiga sen kepada 57.5 sen, Cypark menambah dua sen menjadi 54 sen, Lion Industries mengembang 1.5 sen kepada 40 sen dan Citaglobal tidak berubah pada 33 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 3.57 mata kepada 10,590.92, Indeks FBMT 100 menambah 1.87 mata menjadi 10,303.29 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 11.60 mata kepada 10,785.23.

Indeks FBM 70 menyusut 3.20 mata menjadi 13,000.59 manakala Indeks FBM ACE turun 11.74 mata kepada 5,325.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 57.28 mata kepada 16,416.57, Indeks Perladangan susut 3.06 mata menjadi 6,970.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.06 mata kepada 180.84, dan Indeks Tenaga berkurangan 0.03 mata kepada 781.32.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This