Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan penyusutannya apabila dibuka rendah hari ini, seiring dengan prestasi negatif Wall Street dalam persekitaran sentimen yang lebih berhati-hati.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.82 mata kepada 1,483.44 daripada 1,484.26 pada akhir dagangan semalam.

Indeks utama itu dibuka susut 0.23 mata kepada 1,484.03.

Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 242 berbanding 95 manakala 255 tidak berubah, 1,633 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 287.60 juta unit bernilai RM123.71 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota tinjauannya berkata Indeks Dow Jones turun 1.3 peratus susulan laporan media mengenai tindakan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) yang bersedia bagi kenaikan 50 mata asas, didorong oleh petunjuk kumpulan data ekonomi negara maju itu yang kukuh.

Firma pembrokeran itu berkata ketika pelabur mengambil kira laporan inflasi yang lebih kukuh daripada jangkaan, sentimen global sebaliknya berubah lemah dengan unjuran terhadap nada Fed yang cenderung menaikkan kadar faedah di masa akan datang.

“Walaupun aktiviti memburu saham berharga rendah akan menyusul dan di tengah-tengah musim pelaporan pada masa ini, kami percaya sentimen berhati-hati di peringkat global berkemungkinan besar menjejaskan momentum belian di bursa tempatan,” katanya.

Dari segi tumpuan sektor berikutan harga komoditi minyak sawit mentah melepasi paras RM4,000 satu tan, firma itu berkata pasaran mungkin memberi tumpuan kepada sektor perladangan.

“Dalam persekitaran menjelang pembentangan semula Belanjawan 2023, kami kekal positif terhadap sektor pembinaan, bahan binaan serta tenaga boleh diperbaharui dan saham berkaitan kenderaan elektrik (EV),” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 1.0 sen kepada RM8.78; Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM4.17 dan RM8.20; CIMB susut 1.0 sen kepada RM5.42 dan Tenaga Nasional rugi 4.0 sen kepada RM9.86.

Bagi saham aktif, Cuscapi dan Jade Marvel masing-masing naik 1.0 sen kepada 26 sen dan 31 sen, Bina Puri untung setengah sen kepada 4.5 sen dan SMRT menokok 2.5 sen kepada 26 sen manakala Nylex tidak berubah pada 63 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 20.56 mata kepada 10,795.11; Indeks FBMT 100 susut 19.31 mata kepada 10,461.96 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 31.62 mata kepada 11,145.66 manakala Indeks FBM 70 merosot 83.21 mata kepada 13,616.77 dan Indeks FBM ACE berkurangan 54.53 mata kepada 5,695.02.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 69.84 mata kepada 6,831.86 dan Indeks Tenaga susut 4.26 mata kepada 896.94; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.32 mata kepada 190.14 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 4.31 mata kepada 16,115.68.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This