Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan dalam aliran menurun hari ini, terjejas oleh prestasi hambar pasaran saham Wall Street semalaman.

Sehingga jam 9.03 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.99 mata atau 0.32 peratus kepada 1,539.81 daripada 1,544.80 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka rendah 3.34 mata kepada 1,541.46.

Suasana pasaran kekal lemah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 280 berbanding 52, manakala 199 kaunter tidak berubah, 1,887 tidak diniagakan dan tujuh lagi digantung.

Jumlah dagangan dicatatkan sebanyak 116.88 juta unit bernilai RM52.17 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan sentimen dagangan di Bursa kekal lemah dalam masa terdekat, sejajar dengan prestasi negatif pasaran global.

“Namun begitu, kami melihat potensi dagangan dalam saham berkaitan emas susulan kenaikan harga komoditi itu baru-baru ini di tengah ketidaktentuan ekonomi global,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu turut menyentuh ketegangan perdagangan AS-China, yang berpotensi memberi tekanan ke atas saham teknologi.

“Walaupun tarif AS-China ditangguhkan, tekanan semakin memuncak selepas Amerika Syarikat memberi amaran bahawa cip Ascend keluaran Huawei mungkin melanggar sekatan eksport, sekali gus menyekat potensi kenaikan saham teknologi,” katanya.

Bagaimanapun, Malacca Securities kekal positif terhadap prospek saham pembinaan yang dijangka terus disokong oleh pemangkin domestik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM9.96, Public Bank susut enam sen kepada RM4.37, Tenaga Nasional merosot dua sen kepada RM4.08 manakala CIMB susut satu sen kepada RM6.99.

CelcomDigi, Hong Leong Bank dan Press Metal pula kekal tidak berubah masing-masing pada RM3.90, RM20.00 dan RM5.05.

Bagi kaunter aktif, Velesto, TA Win dan SFP Tech kekal tidak berubah masing-masing pada 16.5 sen, dua sen dan 22 sen.

Harvest Capital dan Alam Maritim susut setengah sen masing-masing kepada 18 sen dan tiga sen, Perdana Petroleum berkurangan 1.5 sen kepada 16.5 sen, JCY International merosot dua sen kepada 33.5 sen manakala Sarawak Cable susut setengah sen kepada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 50.22 mata kepada 11,475.46, FBMT 100 turun 46.94 mata kepada 11,435.83 dan FBM ACE susut 14.68 mata kepada 4,611.37.

FBM Emas Shariah berkurangan 46.51 mata kepada 11,388.14, manakala FBM 70 susut 109.62 mata kepada 18,235.28.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 77.94 mata kepada 18,137.93, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.60 mata kepada 154.45, dan Indeks Tenaga merosot 6.35 mata kepada 706.61.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan naik 10.24 mata kepada 7,340.02.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This