Bursa dibuka rendah pada pagi

Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, menjejaki prestasi lemah di Wall Street dalam tempoh semalaman dengan Dow Jones susut 0.3 peratus susulan laporan prestasi kewangan korporatnya yang bercampur-campur dan tempoh dagangan singkat minggu ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi petunjuk pasaran susut 1.20 mata kepada 1,594.50 daripada 1,595.70 ketika ditutup pada Khamis.

Barometer itu dibuka 0.88 mata lebih kukuh kepada 1,596.58.

Bagi pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 169 berbanding 82, manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,774 kaunter tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 137.26 juta bernilai RM55.86 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan dijangka mengalami dagangan dalam kecenderungan negatif hari ini memandangkan dana asing telah menjual sebahagian ekuiti awal minggu ini,

Prestasi negatif di Wall Street dalam tempoh semalaman juga boleh mempercepat aktiviti pengambilan untung di peringkat tempatan, jelasnya dalam nota penyelidikan.

“Bagaimanapun, minyak mentah yang didagangkan melebihi AS$110 setong dan niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) meningkat lebih RM6,200 akan memberi keyakinan terhadap saham perladangan dan tenaga.

“Selain itu, kami yakin pasaran boleh menetapkan harga lebih awal daripada jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), justeru minat dagangan sewajarnya terus meningkat dalam sektor pembinaan,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM8.83, RM4.67 dan RM6.52 manakala Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM10.22 dan Press Metal menokok satu sen kepada RM6.61.

Bagi saham aktif, SMTrack dan Pappajak masing-masing tidak berubah pada lapan sen dan 52.5 sen, Datasonic naik dua sen kepada 51.5 sen, manakala Pertama susut satu sen kepada 88 sen dan Tanco kurang 3.5 sen kepada 40 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 9.0 mata kepada 11,092.57; Indeks FBM Emas turun 8.58 mata kepada 11,446.11; Indeks FBM Emas Shariah menguncup 1.59 mata kepada 12,093.80; FBM 70 susut 13.81 mata kepada 13,791.86 dan FBM ACE kurang 0.70 mata kepada 5,845.62.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.03 mata kepada 214.54, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 25.10 mata kepada 16,654.48 namun Indeks Perladangan naik 9.46 mata kepada 8,474.37.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)