Bursa dibuka rendah pada pagi

Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal Jumaat, menjejaki prestasi semalaman Wall Street berikutan kebimbangan mengenai krisis perbankan di Amerika Syarikat.

Pada 9.07 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.20 mata kepada 1,422.79 daripada 1,425.99 pada sesi akhir Rabu.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum Hari Wesak.

Indeks utama itu dibuka susut 2.38 mata kepada 1,423.61.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 161 berbanding 119 manakala 258 kaunter lain tidak berubah; 1,695 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 190.56 juta unit bernilai RM64.17 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup lebih rendah untuk hari keempat berturut-turut berikutan timbulnya semula kebimbangan mengenai kemelut perbankan di negara itu.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) susut 286 mata atau 0.86 peratus manakala Nasdaq turun 0.49 peratus atau 58.93 mata.

Di Hong Kong, saham-saham ditutup lebih tinggi ketika pelabur menjangkakan kemungkinan penangguhan kenaikan kadar faedah.

Di peringkat domestik, beliau berkata indeks FBM KLCI ditutup dalam wilayah negatif selepas Bank Negara Malaysia (BNM) membuat kejutan dengan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.

“Kami percaya pasaran tempatan akan menyaksikan beberapa cabaran, khususnya saham perbankan dan hartanah susulan langkah BNM memperketat dasar monetari walaupun aktiviti memburu saham berharga rendah akan turut ketara.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan bahawa indeks utama itu mempamerkan aliran mendatar dalam jajaran 1,420-1,430 mata untuk hari ini,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.70; Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM3.91 dan RM5.07; Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM7.18, CelcomDigi rugi tiga sen kepada RM4.41 manakala Tenaga naik satu sen kepada RM8.99.

Saham aktif menyaksikan Revenue Group menokok dua sen kepada RM3.70; KNM dan Bahvest meraih satu sen masing-masing kepada enam sen dan 22.5 sen manakala Jade Marvel dan MYEG masing-masing untung setengah sen kepada 28.5 sen dan 82.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 22.44 mata kepada 10,425.68; Indeks FBMT 100 berkurangan 22.80 mata kepada 10,117.32 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 27.53 mata kepada 10,758.95.

Indeks FBM ACE susut 6.16 mata pada 5,207.14 dan Indeks FBM 70 berkurangan 30.90 mata kepada 13,524.21.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.75 mata kepada 170.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 6.41 mata kepada 15,582.38; Indeks Tenaga menguncup 3.98 mata kepada 829.50 manakala Indeks Perladangan susut 39.47 mata kepada 6,787.14.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)