Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan pelabur mengambil petunjuk daripada penurunan semalaman di Wall Street, dengan aktiviti pengambilan untung yang sederhana dalam saham wajaran tinggi.

Pada 9.09 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 16.17 mata kepada 1,574.61 selepas dibuka rendah 2.4 mata kepada 1,588.38.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 272 berbanding 243, manakala 355 kaunter tidak berubah, 1,300 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.03 bilion bernilai RM289.46 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pelabur akan beralih tumpuan kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2020, yang akan menyaksikan penguncupan yang sederhana berbanding suku tahun sebelumnya berikutan aktiviti ekonomi telah disambung semula secara berperingkat.

“Pada masa ini, kami berpendapat indeks utama akan meningkat dan dijangka merosot dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, saham berharga rendah terus disokong oleh pasaran yang dipacu mudah tunai berikutan pelabur memanfaatkan sentimen pasaran yang positif,” katanya dalam nota hari ini.

Dari segi sektor, firma penyelidikan itu terus memilih sektor perladangan, berikutan harga minyak sawit mentah yang tinggi akan terus meningkat dalam masa terdekat.

Berdasarkan potensi turun naik yang baharu, harga emas yang meningkat semula dijangka turut mewujudkan minat dagangan baharu dalam saham berkaitan emas, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing susut 10 sen kepada RM7.70 dan RM6.73, Public Bank merosot 28 sen kepada RM17.64 dan Tenaga berkurangan 26 sen kepada RM11.22.

Bagaimanapun, Top Glove naik enam sen kepada RM7.76 dan Hartalega meningkat empat sen kepada RM15.40.

Daripada saham cergas, Xidelang susut setengah sen kepada sembilan sen, Metronic dan AT Systematization, masing-masing naik setengah sen kepada 13.5 sen dan 22.5 sen, Salcon menambah 1.5 sen kepada 39.5 sen dan Netx meningkat satu sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 85.06 mata kepada 11,320.28, Indeks FBM Emas Shariah merosot 71.93 mata kepada 13,248.84 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 83.97 mata kepada 11,119.02.

FBM 70 naik 7.97 mata kepada 14,595.57 dan FBM ACE menambah 18.98 mata kepada 11,371.12.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.45 mata kepada 155.77, Indeks Perladangan merosot 53.26 mata kepada 7,1227.39 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 190.76 mata kepada 13,391.85.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )