Bursa dibuka rendah pada pagi

Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi meningkat semula kemudiannya berikutan minat belian baharu, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang kukuh, kata peniaga.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.89 mata kepada 1,455.11 daripada 1,454.22 pada Rabu.

FBM KLCI dibuka rendah 0.36 mata kepada 1,453.86.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 161 berbanding 125 manakala 264 kaunter tidak berubah, 1,751 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 278.08 juta unit bernilai RM83.64 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata ketiga-tiga indeks utama di Wall Street, masing-masing telah mencapai atau menghampiri paras tertinggi sepanjang masa, dengan Dow Jones Industrial Average ditutup pada paras tertinggi pada 37,656.52, naik 111.19 mata manakala Nasdaq Composite meningkat 24.60 mata kepada 15,099.18, paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu.

Sementara itu, hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) merosot kepada 3.79 peratus.

“Didorong oleh ringgit yang kukuh, minat terhadap ekuiti tempatan dilihat baik daripada dana asing tetapi peningkatan telah dihadkan oleh jualan daripada institusi tempatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau menjangka indeks akan menguji paras 1,500, justeru menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,455 hingga 1,470 hari ini berikutan saham domestik berada pada kedudukan yang baik terutamanya saham perbankan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot satu sen kepada RM8.89 dan RM9.99, Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM7.17, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.26 dan CIMB meningkat enam sen kepada RM5.86 sen.

Daripada saham aktif, Sarawak Cable dan VSolar, masing-masing naik empat sen kepada 43 sen dan 21.5 sen, Minetech menambah 1.5 sen kepada 17 sen, Pelikan meningkat 3.5 sen kepada 20.5 sen dan Ekovest naik dua sen kepada 51 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 21.01 mata kepada 5,230.39, Indeks FBM Emas menambah 6.10 mata kepada 10,831.70 dan Indeks FBMT 100 naik 4.60 mata kepada 10,491.0.

Bagaimanapun, FBM Emas Shariah berkurangan 4.57 mata kepada 11,023.93 dan Indeks FBM 70 susut 0.97 mata kepada 14,628.74.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.32 mata kepada 172.30, Indeks Perladangan susut 11.50 mata kepada 7,006.83, Indeks Hartanah merosot 0.35 mata kepada 864.17 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 37.12 mata kepada 16,252.20 dan Indeks Tenaga meningkat 0.11 mata kepada 822.29.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)