Bursa dibuka rendah pada pagi

Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal hari ini berikutan ekuiti AS lemah, yang ditutup rendah sekali lagi, diterajui oleh jualan dalam saham teknologi dan budi bicara pengguna, kata peniaga.

Pada 9 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.87 mata kepada 1,483.77 daripada 1,484.64 pada Khamis.

Indeks dibuka tinggi 0.79 mata kepada 1,485.43.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 175 berbanding 111 manakala 185 kaunter tidak berubah, 1,855 tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 111.54 juta unit bernilai RM61.16 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran saham AS semalaman merosot dengan ketara berikutan peserta pasaran memberi reaksi terhadap keputusan kenaikan kadar oleh Bank of England.

“Pelabur menjadi berhati-hati dan terus meneliti langkah pengurangan pembelian bon yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan berikutan ia menjadi lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini.

“Oleh itu, kami berpendapat turun naik pasaran kekal di bursa tempatan pada kecenderungan aliran penurunan,” katanya.

Menjejaki Wall Street, katanya peniaga dijangka menjalankan dagangan secara berhati-hati, terutamanya dalam saham teknologi, selain dijangka kaunter Sarawak menjadi perhatian menjelang pilihan raya negeri Sarawak dan memberi tumpuan kepada saham perladangan dan tenaga berikutan harga komoditi yang kukuh.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot tiga sen kepada RM8.08 dan RM5.20 manakala IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM6.56 serta Public Bank, Petronas Chemicals dan Tenaga, masing-masing tidak berubah pada RM4.03, RM8.68 dan RM9.24.

Daripada saham aktif, ATA IMS susut satu sen kepada 67 sen, waran Fast Energy naik tiga sen kepada 3.5 sen, Hwa Tai meningkat lima sen kepada 72 sen, KNM Group menambah satu sen kepada 15 sen manakala TA Win tidak berubah pada 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.95 mata kepada 10,817.72, Indeks FBMT 100 berkurangan 9.09 mata kepada 10,513.74 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 11.17 mata kepada 11,625.59.

FBM 70 jatuh 23.72 mata kepada 13,936.34 dan FBM ACE merosot 29.52 mata kepada 6,248.59.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.32 mata kepada 194.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 23.06 mata kepada 15,198.53 dan Indeks Perladangan merosot 3.79 mata kepada 6,355.37.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)