
Bursa dibuka rendah pagi ini
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia susut pada awal dagangan Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi ketika sentimen berhati-hati ketara di pasaran serantau susulan prestasi semalaman Wall Street yang kurang memberangsangkan.
Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.02 mata kepada 1,430.72 daripada 1,433.74 pada akhir dagangan semalam.
Sewaktu urus niaga dimulakan, indeks pemacu pasaran itu susut 2.16 mata kepada 1,431.58.
Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 220 berbanding 107 manakala 230 kaunter lain tidak berubah; 1,685 tidak diniagakan dan 21 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 285.98 juta unit bernilai RM144.17 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatat prestasi bercampur-campur pada akhir dagangan menjelang pengumuman data inflasi utama manakala Dow Jones merosot 56 mata dan S&P 500 serta Nasdaq masing-masing tidak banyak berubah.
“Kami optimistik namun berhati-hati terhadap pasaran tempatan dalam tempoh terdekat berikutan sokongan daripada institusi tempatan dan dana asing yang kembali ke pasaran.
“Berikutan itu, kami menjangkakan FBM KLCI dalam julat 1,425-1,440 pada hari ini.
“Pada masa sama, mungkin terdapat tekanan jualan ke atas stok minyak dan gas berikutan minyak mentah Brent yang susut kepada US$76.60 setong,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Public Bank dan CIMB susut satu sen masing-masing pada RM8.75, RM4.0 dan RM5.15; Petronas turun tiga sen kepada RM7.14 manakala Tenaga Nasional rugi dua sen pada RM9.03.
Bagi saham aktif, kemunculan pertama Autocount di Pasaran ACE mendapat reaksi positif apabila meningkat 68 sen kepada RM1.01; Salutica menambah 5.5 sen kepada 98 sen manakala Icon dan Vinvest masing-masing menambah setengah sen kepada 9.0 sen dan 20.5 sen.
Hong Seng dan Fitters turun setengah sen setiap satu masing-masing kepada 11.5 sen dan 0.5 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 22.68 mata kepada 10,443.83; Indeks FBMT 100 turun 23.43 mata kepada 10,137.33 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 23.61 mata kepada 10,734.25.
Indeks FBM ACE berkurangan 5.90 mata kepada 5,116.31 dan Indeks FBM 70 susut 39.64 mata kepada 13,400.36.
Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kehilangan 0.10 mata kepada 170.23; Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 25.04 mata kepada 15,725.75; Indeks Tenaga berkurangan 4.33 mata kepada 835.99 manakala Indeks Perladangan naik 2.82 mata kepada 6,831.38.
–Bernama