Bursa dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini dengan urus niaga berada dalam keadaan stabil selepas menyaksikan indeks bergerak rancak sekitar 40 mata sejak beberapa minggu lepas.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 12.10 mata atau 0.79 peratus kepada 1,518.25 daripada 1,530.35 ketika ditutup Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 4.43 mata lebih rendah kepada 1,525.92.

Bagaimanapun, pergerakan keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 215 berbalas 186 manakala 298 kaunter tidak berubah, 1,438 tidak diniagakan dan 32 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 347.82 juta unit bernilai RM113.54 juta.

Kejatuhan dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi didahului oleh IHH yang merosot 19 sen kepada RM4.87, diikuti oleh Tenaga, jatuh 18 sen kepada RM10.22, Petronas Chemicals menyusut 11 sen kepada RM5.91, Petronas Dagangan lebih rendah 76 sen kepada RM18.60 dan Sime Darby Plantation berkurangan 10 sen kepada RM5.06.

Mengulas mengenai prestasi bursa tempatan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pergerakan agresif sebelum ini mungkin akan menjadi perlahan sedikit berikutan situasi politik yang tidak stabil dalam beberapa hari mendatang ini.

“Bagaimana dari sudut positif, pergerakan pasaran yang baik beserta jumlah dagangan yang kukuh sejak beberapa hari lepas, menyarankan kehendak pelabur terus kekal dalam lingkungan pasaran ekuiti yang ingin mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi,”katanya.

Secara teknikalnya, firma broker itu berkata selepas dua hari bergerak rancak sejak minggu sebelumnya, indeks meningkat menjurus kepada paras halangan 1,540 dan diikuti dengan 1,555.

“Paras sokongan pula kekal pada 1,490, diikuti oleh 1,480,” katanya.

Dalam kalangan saham paling cergas, Advance Synergy turun dua sen kepada 24.5 sen, Malayan United Industries merosot satu sen kepada 13 sen, Parkson dan XOX masing-masing naik setengah sen kepada 16.5 sen dan 12.5 sen, sementara Sapura Energy tidak berubah pada 10.5 sen.

Saham paling untung diketuai oleh kaunter perladangan dan farmasi, termasuk Genting Plantations yang naik 16 sen kepada RM9.97, United Plantations menambah 12 sen kepada RM14.80, Pharmaniaga mengukuh 15 sen kepada RM4.84 dan Duopharma meningkat tujuh sen kepada RM3.52 manakala Permata Digital menokok 9.5 sen pada 49 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 36.31 mata kepada 10,984.61, Indeks FBMT 100 susut 63.60 mata kepada 10,777.20 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 27.26 mata kepada 13,103.47.

FBM 70 meningkat 1.99 mata kepada 14,366.63 dan FBM ACE naik 33.30 mata kepada 10,590.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 70.47 mata kepada 12,593.91, Indeks Perladangan merosot 32.74 mata kepada 7,042.48 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.67 mata kepada 141.30.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )