
Bursa dibuka tinggi hari ini
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan awal hari ini, disokong oleh minat belian baharu dalam persekitaran sentimen bercampur-campur dalam pasaran serantau, kata peniaga.
Pada 9.20 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.54 mata atau 0.43 peratus kepada 1,537.84 daripada 1,531.30 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.47 mata kepada 1,531.77.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 224 berbanding 175 manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,656 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 288.65 juta unit bernilai RM120.54 juta.
Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata jualan dalam saham teknologi di Wall Street semalam dijangka mempengaruhi sektor teknologi di peringkat tempatan hari ini.
“Bagaimanapun, kami masih menjangka saham terpilih dalam sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) dan pengguna mengatasi prestasi pasaran berikutan pemangkin pemulihan perniagaan.
“Mengenai pasaran komoditi, minyak mentah diniagakan melebihi US$113 setong manakala harga minyak sawit mentah (MSM) pada sekitar RM6,450. Berdasarkan harga minyak mentah dan MSM diniagakan tinggi, kami percaya pelabur akan memilih kaunter tenaga dan perladangan. Peniaga dijangka mengelak saham teknologi berdasarkan jualan di Wall Street semalaman,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat 1.0 sen kepada RM8.97 dan RM6.41, Public Bank menambah 4.0 sen kepada RM4.54 dan Petronas Chemicals naik 6.0 sen kepada RM10.02.
Daripada saham aktif, Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 9.0 sen, KNM Group naik 1.0 sen kepada 16.5 sen manakala Serba Dinamik dan MNC Wireless, masing-masing tidak berubah pada 10 sen dan 1.5 sen.
Di papan indeks, FBM ACE naik 38.92 mata kepada 5,230.36, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 39.23 mata kepada 11,390.19, Indeks FBM Emas menambah 35.78 mata kepada 10,986.06, Indeks FBMT100 menokok 37.38 mata kepada 10,659.52 dan FBM70 naik 13.63 mata kepada 13,095.20.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.21 mata kepada 198.81, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 62.95 mata kepada 16,537.52 dan Indeks Perladangan menambah 85.85 mata kepada 8,080.78.
— Bernama