
Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini, menjejaki kenaikan Wall Street pada Jumaat lalu, ketika pelabur mengetepikan kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik membabitkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta kelembapan data ekonomi AS.
Pada 9.24 pagi, FBM KLCI meningkat 4.0 mata kepada 1,578.70 berbanding 1,574.70 pada penutupan Jumaat. Indeks petunjuk pasaran bagaimanapun dibuka rendah 2.43 mata kepada 1,572.27.
Dalam pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan 270 berbanding 263, manakala 339 kaunter tidak berubah, 1,445 kaunter tidak diniagakan dan enam lagi digantung. Jumlah dagangan direkodkan sebanyak 474.97 juta unit saham bernilai RM313.85 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata sentimen positif pada Jumaat turut disokong oleh isyarat kelembapan dalam ekonomi AS.
“Sentimen pasaran kekal lemah apabila hasil Perbendaharaan AS bagi tempoh 10 tahun susut kepada 4.203 peratus.
“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot hampir 780 mata kepada bawah paras 23,000, dipengaruhi kebimbangan terhadap dasar tarif oleh Trump serta kelembapan ekonomi AS,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan Trump terus memberi impak besar kepada hala tuju pasaran, mengatasi faktor asas buat sementara waktu.
“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,570 hingga 1,580 hari ini, walaupun keputusan pendapatan suku keempat syarikat dilihat memberangsangkan,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.56, CIMB melonjak 19 sen kepada RM8.00, Tenaga Nasional meningkat 20 sen kepada RM13.80, sementara IHH Healthcare susut 13 sen kepada RM7.32 dan Maybank kekal pada RM10.72.
Bagi saham aktif, Genting Malaysia menambah lima sen kepada RM1.95, MY E.G. naik 1.5 sen kepada 89 sen, manakala Pantech Global Bhd, yang disenaraikan di Pasaran Utama hari ini, susut 16.5 sen kepada 51.5 sen. Cape EMS turun 1.5 sen kepada 25.5 sen, sementara Ingenieur Gudang merosot setengah sen kepada 3.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 44.20 mata kepada 11,780.52, Indeks FBMT 100 naik 44.17 mata kepada 11,540.74 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 20.36 mata kepada 11,432.15.
Indeks FBM 70 melonjak 123.65 mata kepada 16,760.28, manakala Indeks FBM ACE susut 16.63 mata kepada 4,740.36.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.05 mata kepada 158.30, Indeks Tenaga meningkat 4.83 mata kepada 758.97, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 104.55 mata kepada 19,431.50, sementara Indeks Perladangan merosot 49.35 mata kepada 7,560.35.
–Bernama