Bursa dibuka tinggi pada pagi

Bursa dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, disokong oleh permintaan belian dalam saham mewah, diterajui kaunter produk dan perkhidmatan pengguna selain sejajar dengan prestasi bursa serantau lain yang kebanyakannya positif.

Pada 9.33 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.98 mata kepada 1,399.04 daripada 1,398.06 pada penutup Rabu.

Indeks utama dibuka pada 1,401.10, mengukuh 3.04 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 277 berbalas 208, manakala 283 kaunter tidak berubah, 1,488 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 535.62 juta unit bernilai RM217.11 juta.

Menurut Malacca Securities, data inflasi AS yang lebih lemah diunjur memberi dorongan jangka pendek untuk peningkatan selanjutnya bagi pasaran ekuiti, manakala pengukuhan harga minyak mentah akan menyaksikan minat dagangan yang lebih besar dalam sektor tenaga pada masa hadapan.

Ia menambah pasaran tempatan kekal optimis pada Rabu kerana indeks utama telah menghampiri tahap 1,400 psikologi berdasarkan data ekonomi yang begitu menyakinkan.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM8.75 dan RM9.03, Public Bank dan CIMB mengukuh 2.0 sen setiap satu kepada RM3.89 dan RM5.24 manakala IHH Healthcare susut 3.0 sen menjadi RM5.92.

Bagi saham aktif, KNM Group kekal pada 8.5 sen, Sarawak Consolidated turun 1.5 sen menjadi 48 sen manakala AHB Holdings dan Hong Seng masing-masing menambah 1.0 sen kepada 15 sen dan 9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 11.77 mata kepada 10,312.12, Indeks FBMT 100 mengukuh 9.67 mata pada 9,999.86 dan Indeks FBM ACE susut 5.87 mata kepada 5,215.40.

Indeks FBM 70 meningkat 24.63 mata kepada 13,579.49 manakala Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 0.33 mata kepada 10,602.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 47.91 mata kepada 15,545.19, Indeks Perladangan susut 1.10 mata menjadi 6,894.93, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.51 mata kepada 160.75, manakala Indeks Tenaga meningkat 3.08 mata kepada 804.47.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )