Bursa dibuka tinggi pada pagi

Bursa dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mengalami kenaikan semula daripada penjualan besar-besaran semalam untuk dibuka tinggi pada Jumaat, apabila pembelian semasa harga rendah muncul terutama ke atas saham-saham berwajaran tinggi, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran menokok 2.66 mata kepada 1,536.02 daripada 1,533.36 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 1.46 mata lebih baik kepada 1,534.81.

Di pasaran meluas, terdapat 161 kaunter untung dan 141 kaunter rugi, manakala 222 kaunter tidak berubah, 1,749 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 162.51 juta unit bernilai RM71.65 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia menjangkakan bursa tempatan kekal tidak menentu dengan kecenderungan menyusut sekurang-kurangnya bagi jangka terdekat memandangkan Wall Street masih dalam fasa penurunan.

Ia menjelaskan bagaimanapun, pelabur mungkin mencari kaunter yang lembap dengan kebolehlihatan pendapatan tinggi menjelang musim pelaporan pada Februari.

“Ketika bursa tempatan mungkin mengambil petunjuk daripada penurunan semalaman di Wall Street, pelabur pula mungkin melakukan aktiviti pembelian semasa harga rendah, terutama dalam sektor berkaitan pengguna dalam situasi pemulihan ekonomi, selain sektor teknologi memandangkan prospek positifnya bagi jangka panjang,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran itu menambah, sektor perladangan diunjurkan memiliki daya tarikan menjelang musim pelaporan pendapatan.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata prestasi pasaran serantau dijangka bercampur-campur hari ini.

Beliau berkata, bagi FBM KLCI, memandangkan keadaan pasaran terus lemah, indeks utama itu mungkin menghadapi cabaran berterusan.

“Kami menjangkakan ia bergerak dalam julat 1,525 hingga 1,540 hari ini berikutan turun naik pasaran yang meningkat,” katanya kepada Bernama.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing menokok dua sen kepada RM8.32 dan RM5.45, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.13, Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM8.77, dan IHH Healthcare meningkat tiga sen kepada RM6.79.

Antara saham aktif, BCM susut setengah sen kepada tiga sen, Dagang Nexchange dan Cuscapi masing-masing tidak berubah pada 84.5 sen dan 36.5 sen, manakala SMTrack naik setengah sen kepada 28.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 17.22 mata kepada 11,176.12, Indeks FBM Emas Syariah naik 17.22 mata kepada 12,013.12, FBM 70 menambah 18.47 mata kepada 14,321.16 dan Indeks FBMT 100 menokok 17.67 kepada 10,864.1.

Bagaimanapun, FBM ACE menguncup 8.95 mata kepada 6,573.03.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.45 mata kepada 201.58, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.72 mata kepada 15,648.93 dan Indeks Perladangan naik 5.22 mata kepada 6,608.19.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)