Bursa dibuka tinggi pagi ini

Bursa dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan kenaikan minggu lepas untuk dibuka tinggi hari ini, didorong oleh sokongan belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih dalam persekitaran sentimen positif di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 2.50 mata kepada 1,508.78 daripada 1,506.28 pada Jumaat lepas.

Indeks barometer dibuka tinggi 1.83 mata kepada 1,508.11.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 288 berbanding 178 manakala 337 kaunter tidak berubah, 1,485 tidak diniagakan dan 64 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 476.69 juta unit bernilai RM220.03 juta.

Menurut Malacca Securities, pada minggu ini, pasaran akan memantau beberapa perkara seperti Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) dan data pekerjaan di AS.

“Secara keseluruhannya, kami menjangka sokongan belian akan kekal dalam pasaran saham Malaysia. Dalam pasaran komoditi, minyak mentah Brent terus meningkat, kini berada melebihi paras US$83 setong dengan potensi pakej rangsangan China, selain ketegangan yang berterusan di rantau Timur Tengah,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing tidak berubah pada RM9.14 dan RM4.37, CIMB meningkat 3.0 sen kepada RM6.21 manakala Tenaga Nasional susut 2.0 sen kepada RM10.52 dan Petronas Chemicals merosot 1.0 sen kepada RM6.69.

Bagi saham aktif, Minetech menambah 1.0 sen kepada 16.5 sen, Master Tec naik setengah sen kepada 39.5 sen, YNH Property meningkat 3.0 sen kepada 74.5 sen manakala MRCB merosot 1.0 sen kepada 64 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.29 mata kepada 11,254.08, Indeks FBM 70 meningkat 39.69 mata kepada 15,322.90, Indeks FBMT 100 menambah 20.64 mata kepada 10,906.02, Indeks FBM Emas Shariah menokok 28.25 mata kepada 11,317.91 dan Indeks FBM ACE naik 1.57 mata kepada 4,843.70.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 1.98 mata kepada 926.40, Indeks Perladangan menambah 32.71 mata kepada 7,198.43 dan Indeks Tenaga naik 8.70 mata kepada 887.25.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 33.33 mata kepada 16,859.03 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.08 mata kepada 174.0.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)