Bursa dibuka tinggi selepas Wall Street pulih

Bursa dibuka tinggi selepas Wall Street pulih

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan hari ini dengan lebih tinggi susulan peningkatan semula pasaran semalaman Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan aktiviti pembelian saham berharga rendah di pasaran domestik.

Pada 9.10 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 15.36 mata kepada 1,271.94 daripada paras 1,256.58 sewaktu ditutup semalam, selepas susut 2.15 mata kepada 1,254.43 sewaktu dibuka pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 283 berbanding 95 dengan 138 kaunter tidak berubah, 1,500 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 206.74 juta saham bernilai RM108.16 juta.

Sementara itu, PublicInvest Research dalam nota penyelidikannya berkata Wall Street mencatat pemulihan malam tadi, didorong oleh langkah Rumah Putih yang bertindak menyokong pelan rangsangan Persekutuan bernilai AS$850 bilion dan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID- 19.

“Pemulihan itu berlaku sehari selepas indeks Purata Perindustrian Dow Jones merekodkan prestasi terburuknya sejak kejatuhan pasaran pada 1987 apabila kerajaan di Amerika Syarikat dan Eropah menutup sejumlah besar aktiviti ekonomi bagi membendung pandemik yang bermula di China pada Januari lepas,” katanya.

Dow Jones ditutup pada paras 1,048.79 mata iaitu 5.2 peratus lebih tinggi, pada 21,237.31 manakala indeks S & P 500 menambah 143.06 mata atau enam peratus dan ditutup kepada 2,529.19 manakala Indeks Komposit Nasdaq ditutup meningkat 430.19 mata atau 6.2 peratus pada paras 7,334.78.

Sementara itu, saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia menyaksikan Maybank untung 10 sen kepada RM7.46, Tenaga naik 20 sen kepada RM11.44, Public Bank menambah 12 sen kepada RM14.02 manakala IHH tidak berubah pada RM4.68.

Bagi saham aktif, Bumi Armada untung setengah sen kepada 14.5 sen, ACO Group susut enam sen kepada 22 sen dan Sapura Energy turun setengah sen kepada 8.5 sen.

Indeks FBM Emas meraih 96.95 mata kepada 8,723.73, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 111.31 mata kepada 9,472.36 dan FBM 70 naik 88.99 mata kepada 10,033.41.

Indeks FBMT 100 menokok 98.47 mata kepada 8,649.10 dan FBM Ace naik 64.95 mata kepada 3,687.04.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.75 mata kepada 102.89, Indeks Perladangan meningkat 15.34 mata kepada 5,704.98 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 117.27 mata kepada 11,779.76. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)