Bursa diniagakan lebih tinggi hari ini

Bursa diniagakan lebih tinggi hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi hari ini berikutan belian semasa harga rendah, sejajar dengan prestasi semalaman yang positif di Wall Street, kata seorang peniaga.

Pada 9.43 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.63 mata kepada 1,426.31 daripada 1,425.68 sewaktu ditutup pada Rabu.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 186 kepada 175, manakala 1,275 kaunter tidak berubah, 615 tidak diniagakan dan 35 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.02 juta unit bernilai RM317.22 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meningkat selepas data inflasi adalah lebih baik daripada jangkaan, manakala Nasdaq melonjak hampir 127 mata dan S&P500 meraih 18 mata.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI ditutup lebih rendah semalam sejajar dengan prestasi serantau yang lemah.

“Untuk hari ini, kami meramalkan belian semasa harga rendah akan berlaku disebabkan penilaian yang rendah bagi indeks utama, terutamanya bagi saham-saham perbankan dan telekomunikasi.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran itu dalam jajaran 1,425-1,435 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB masing-masing meningkat dua sen kepada RM8.72, RM4.01 dan RM5.04.

Petronas Chemicals merosot lapan sen kepada RM7.23, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.90.

Bagi saham aktif, Bahvest meningkat 1.5 sen kepada 13 sen, manakala Vinvest dan Aimflex masing-masing menokok setengah sen kepada 20.5 sen dan 17.5 sen.

Autocount menambah 2.5 sen kepada 70 sen dan Seal meraih tiga sen kepada 44 sen, manakala Komark tidak berubah pada 9.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 1.52 mata kepada 10,446.52 dan Indeks FBMT 100 turun 0.70 mata kepada 10,143.04, manakala Indeks FBM Emas Syariah menyusut 15.99 mata kepada 10,781.20, dan Indeks FBM ACE rendah 27.04 mata kepada 5,014.32 dan Indeks FBM 70 berkurangan 14.87 mata kepada 13,561.45.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.40 mata kepada 169.15 dan Indeks Tenaga turun 0.31 mata kepada 833.0, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 34.31 mata kepada 15,632.26 dan Indeks Perladangan menokok 2.39 mata kepada 6,840.91.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )