Bursa diniagakan lemah pada awal hari ini

Bursa diniagakan lemah pada awal hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan dalam nada lemah pagi ini, sejajar dengan sentimen berhati-hati pelabur berikutan ketiadaan pemangkin baharu untuk merangsang pasaran tempatan.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.98 mata atau 0.51 peratus kepada 1,563.77, berbanding paras penutup 1,571.75 pada Jumaat lalu. Indeks penanda aras itu dibuka lemah, turun 5.18 mata kepada 1,566.57.

Sentimen pasaran kekal negatif dengan 267 kaunter mencatatkan kerugian, mengatasi 92 kaunter untung, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,760 kaunter belum diniagakan dan 17 kaunter digantung.

Jumlah dagangan dicatatkan sebanyak 122.7 juta unit bernilai RM65.49 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, pelabur institusi tempatan dilihat sebagai penjual bersih dengan kecenderungan mengambil untung berikutan prestasi lemah IPO kebelakangan ini.

“Melihat kepada penyenaraian awam yang kurang memberangsangkan, kami menjangkakan penyertaan pelabur runcit akan beralih semula ke pasaran sekunder secara berperingkat.

“Kami unjurkan indeks berada dalam julat antara 1,570 hingga 1,580 hari ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Tekanan tambahan terhadap sentimen pasaran turut disumbangkan oleh penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat oleh Moody’s Ratings, yang menyuarakan kebimbangan terhadap hutang negara itu yang kini mencecah AS\$36 trilion.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, IHH Healthcare dan CelcomDigi masing-masing kekal tidak berubah pada RM10.14, RM7.01 dan RM3.97. Public Bank susut dua sen kepada RM4.48, Tenaga Nasional merosot 16 sen kepada RM14.04, manakala CIMB turun empat sen kepada RM7.14.

Bagi saham aktif, NexG menambah setengah sen kepada 38 sen, Innature naik satu sen kepada 23.5 sen, sementara Harvest Miracle dan Jiankun masing-masing tidak berubah pada 18 sen dan 3.0 sen. SFP Tech merosot setengah sen kepada 25 sen dan Nationgate susut dua sen kepada RM1.67.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 57.59 mata kepada 11,688.45, Indeks FBMT 100 susut 57.72 mata kepada 11,434.98, manakala Indeks FBM ACE turun 6.73 mata kepada 4,759.13.

Indeks FBM Emas Shariah pula lemah 71.59 mata kepada 11,602.59 dan Indeks FBM 70 merosot 81.63 mata kepada 16,620.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 41.94 mata kepada 18,445.71, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.43 mata kepada 158.25, Indeks Tenaga susut 4.19 mata kepada 725.19, manakala Indeks Perladangan berkurangan 50.90 mata kepada 7,334.69.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )