Bursa lebih tinggi pada pagi

Bursa lebih tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat sedikit pada awal dagangan Isnin namun susut kemudiannya susulan aktiviti pengambilan untung membabitkan saham-saham wajaran tinggi yang meraih keuntungan baru-baru ini, kata peniaga.

Pada 9.22 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.99 mata kepada 1,541.12 berbanding 1,543.11 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Indeks berkenaan dibuka menokok 0.27 mata kepada 1,543.38.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 239 berbanding 227 manakala 325 lain tidak berubah, 1,482 tidak diniagakan dan 21 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 624.36 juta unit bernilai RM196.50 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota tinjauannya, menjangkakan pelabur akan terus mengambil pendekatan berhati-hati terhadap sektor teknologi.

“Kami menjangkakan terdapat penjualan dalam kaunter teknologi susulan kemerosotan Nasdaq tetapi ini sebaliknya boleh menjadi peluang pembelian saham berharga rendah, didorong oleh faktor unjuran pendapatan jangka panjang susulan penerimagunaan 5G dan peralatan berkaitan internet pelbagai benda (IoT).

“Selain itu, kami juga optimis terhadap prospek sektor perbankan, pengguna dan komoditi berikutan potensi kenaikan kadar faedah di masa depan serta harga komoditi yang terus mengukuh,” katanya.

Firma pembrokeran itu berkata FBM KLCI mengakhiri dagangan minggu pertama 2022 pada minggu lepas dengan meraih peningkatan, didorong oleh kenaikan saham-saham wajaran tinggi perladangan.

Namun, ia mengunjurkan peniaga akan menumpukan kaunter berkaitan komoditi susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah baru-baru ini iaitu masing-masing MSM dalam jajaran melebihi RM4,990 sekilogram dan minyak mentah Brent lebih AS$81 setong.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 2.0 sen kepada RM8.30, Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.15, IHH Healthcare naik 3.0 sen kepada RM6.71, Petronas Chemicals tidak berubah pada 8.79 manakala CIMB naik 1.0 sen kepada RM5.47.

Bagi saham aktif, MQ Tech naik 2.5 sen kepada 13 sen, AHB Holdings meraih 3.0 sen kepada 23 sen manakala Techna-X dan SMTrack masing-masing naik 1.0 sen kepada 10 sen dan 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.01 mata pada 11,206.41, Indeks FBM Emas Shariah merosot 15.58 mata kepada 12,043.90, FBM 70 menambah 3.50 mata kepada 14,323.91 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 1.41 mata kepada 10,892.23.

Bagaimanapun, FBM ACE naik 49.23 mata kepada 6,741.26.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.04 mata kepada 202.31, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.13 mata kepada 15,711.55 manakala Indeks Perladangan susut 29.31 mata kepada 6,689.52.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This