Bursa Malaysia alami penurunan, didahului oleh kaunter tenaga, perladangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mengalami penurunan daripada paras 1,600 mata pada awal dagangan hari ini memandangkan pelabur mencari keuntungan selepas mencatatkan kenaikan sebanyak 2.5 peratus semalam.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.96 mata kepada 1,594.30, diseret turun terutama oleh penyusutan di sektor tenaga dan perladangan.

Indeks itu dibuka 2.23 mata lebih tinggi kepada 1,604.49 daripada 1,602.26 ketika ditutup semalam.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 332 berbanding 235 manakala 365 kaunter tidak berubah, 1,177 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 604.56 juta unit bernilai RM303.51 juta.

Menurut Malacca Securities berkata langkah India untuk mengurangkan duti import minyak sawit mentah (MSM) memberi pertanda baik bagi sektor perladangan memandangkan harga tetap kukuh di atas RM3,300 satu tan.

“Sementara itu, kami terus memilih sektor pembinaan sebagai penerima manfaat utama Belanjawan 2021 kerana aktiviti pembinaan beralih ke tahap pelaksanaan lebih giat,” katanya menerusi nota penyelidikan.

Secara keseluruhan, FBM KLCI mencatatkan peningkatan semula yang pantas memandangkan indeks utama memperoleh kembali asas pergerakan meningkat untuk mencecah paras psikologi 1,600 mata semalam.

Menurutnya, pelabur akan terus menumpukan kemajuan pemulihan ekonomi.

“Kami yakin saham berharga rendah akan terus menikmati momentum kenaikan mereka kerana mudah tunai kekal baik di pasaran ekuiti dengan pelabur memanfaatkan sentimen pasaran positif,” katanya.

Di luar negara, saham Amerika Syarikat meningkat dengan Purata Perindustrian Dow Jones naik 0.6 peratus, sementara S&P 500 (+1.1 peratus) dan Nasdaq (+1.3 peratus) mencatatkan prestasi kenaikan baharu, didorong oleh jangkaan pemulihan ekonomi susulan permohonan Pfizer dan BioNTech untuk mendapatkan kelulusan pengawalseliaan bagi vaksin COVID-19 mereka di Kesatuan Eropah.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Top Glove turun 13 sen kepada RM6.66, Tenaga Nasional susut 18 sen kepada RM10.68, Petronas Gas merosot 30 sen kepada RM17.50, Hartalega kurang 16 sen kepada RM14.30 dan Sime Darby Plantation menguncup enam sen kepada RM5.02.

Sebaliknya, Maybank naik tiga sen kepada RM8.22 dan RHB menokok empat sen kepada RM5.34.

Antara saham aktif, BioAlpha tidak berubah pada 35.5 sen, AT Systematization turun satu sen kepada 20 sen dan Bumi Armada tidak berubah pada 32 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 32.74 mata kepada 11,536.89, Indeks FBMT 100 susut 36.25 mata kepada 11,296.53 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 61.44 mata kepada 13,310.69.

FBM 70 meningkat 30.61 mata kepada 14,979.15 dan FBM ACE merosot 58.48 mata kepada 10,713.43.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.29 mata kepada 166.83, Indeks Perladangan susut 12.05 mata kepada 7,338.23 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 36.41 mata kepada 14,244.69.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )