Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pagi ini selepas mencatatkan keuntungan minggu lepas, seiring dengan prestasi di pasaran serantau.

Para pelabur dilihat mengambil sikap berhati-hati terutama menjelangnya mesyuarat Persekutuan AS pertama di bawah pentadbiran Joe Biden lewat hari ini.

Pada pukul 9.20 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.06 mata kepada 1,596.80 daripada 1,596.74 ketika ditutup minggu lepas.

Indeks utama dibuka 3.80 mata lebih tinggi pada 1,600.54.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung 617 berbalas 183 manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,209 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 904.80 juta unit bernilai RM590.42 juta.

Dengan mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur di Wall Street Jumaat lepas, Malacca Securities mengunjurkan lantunan yang perlahan di FBM KLCI minggu lepas akan lemah hari ini sementara sentimen pasaran dijangka berhati-hati menjelang mesyuarat pertama Rizab Persekutuan AS di bawah pentadbiran Biden serta tempoh urus niaga yang singkat minggu ini.

“Memandangkan musim pelaporan telah hampir, pelabur mungkin beralih kepada sektor-sektor terpilih dengan pendapatan yang tinggi sementara kes COVID-19 pula terus meningkat.

“Berdasarkan kepada musim pelaporan yang bakal tiba, kami menjangkakan sektor teknologi, perladangan dan perabot berpotensi menduduki tempat teratas dan akan menjadi perhatian peniaga,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan TNB masing-masing susut 4.0 sen kepada RM76.96 dan 9.74, Public Bank turun 18 sen kepada RM21.48, Petronas Chemicals jatuh 10 sen kepada RM7.27 tetapi Top Glove menambah 21 sen kepada RM6.46.

Saham paling cergas pula, Dagang Nexchange menokok 2.5 sen kepada 28.5 sen, Bioalpha naik 1.5 sen kepada 31.5 sen sementara QES turun 1.5 sen kepada 36.5 sen dan DGB Asia menyusut setengah sen kepada 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih rendah sebanyak 39.24 mata kepada 11,524.38, Indeks FBMT 100 berkurangan 32.03 mata kepada 11,262.73 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 1.48 mata kepada 13,047.47.

FBM 70 merosot 168.35 mata kepada 14,733.33 dan FBM ACE turun 75.82 mata kepada 10,682.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 146.09 mata kepada 14,739.57, Indeks Perladangan susut 3.79 mata kepada 7,219.37 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.55 mata kepada 174.80.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )