Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi hari ini, didorong oleh minat belian baharu dalam saham wajaran tinggi terpilih berikutan pelabur tertarik dengan harga saham yang lebih rendah, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.29 mata kepada 1,585.48 daripada 1,582.19 semasa ditutup semalam.

Ia dibuka tinggi 2.98 mata kepada 1,585.17.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 259 berbanding 154, manakala 292 kaunter tidak berubah, 1,483 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 408.95 juta unit bernilai RM169.91 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun bursa tempatan ditutup rendah semalam, keyakinan terhadap pemulihan masih kekal.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya sentimen optimis disebabkan purata kadar jangkitan (R-naught) merosot di bawah 1.0 (berdasarkan data pada 1 September, selain Melaka dan Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 4 September 2021.

“FBM KLCI menyaksikan satu lagi sesi penurunan (pada Khamis) walaupun terdapat belian daripada pelabur runcit tempatan dan asing, berikutan konstituen indeks akur kepada aktiviti pengambilan untung selepas meningkat semula pada pertengahan pagi,” katanya.

Sementara itu, katanya harga minyak mentah naik semula melebihi AS$72 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat melebihi paras RM4,200.

“Kaunter minyak dan gas mungkin mendapat perhatian berikutan kenaikan harga minyak mentah. Selain itu, sektor pelancongan dijangka mendapat tarikan berikutan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membuka semula sektor pelancongan melibatkan beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan.

“Kita mungkin menyaksikan minat dagangan yang meningkat di kaunter berkaitan cukai berikutan pakar cukai menyatakan bahawa Malaysia memerlukan pembaharuan cukai untuk meluaskan asas cukai,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 3.0 sen kepada RM8.30, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.08, IHH Healthcare menambah 2.0 sen kepada RM6.38 manakala Petronas Chemicals dan Tenaga Nasional, masing-masing tidak berubah pada RM8.29 dan RM10.38.

Daripada saham aktif, Puncak Niaga naik 5.0 sen kepada 47 sen, Avillion menambah setengah sen kepada 13 sen manakala KNM Group dan Sapura Energy, masing-masing meningkat 1.0 sen kepada 28.5 sen dan 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 23.98 mata kepada 11,557.40, Indeks FBMT 100 meningkat 22 mata kepada 11,259.98 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 31.50 mata kepada 12,688.86.

FBM 70 naik 23.92 mata kepada 15,030 manakala FBM ACE merosot 6.79 mata kepada 7,210.80.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 18.96 mata kepada 6,707.51, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.36 mata kepada 198.89 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 18.29 mata kepada 15,418.16.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)