Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi pada Jumaat apabila pelabur mencari ekuiti berharga rendah terutama membabitkan saham tenaga dan teknologi.

Pasaran juga memperoleh dorongan daripada kenaikan kukuh dalam tempoh semalaman yang dicatatkan Wall Street, dengan menyaksikan Dow Jones menokok 1.6 peratus.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.89 mata kepada 1,596.41 daripada 1,592.52 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 2.65 mata lebih kukuh kepada 1,595.17.

Lingkungan pasaran pula menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 287 berbanding 139, sementara 282 kaunter tidak berubah, 1,581 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 204.06 juta unit bernilai RM116.09 juta.

Menurut Malacca Securities, musim pelaporan kewangan bermula dengan prestasi yang lebih baik berbanding jangkaan, dan tuntutan pengangguran mingguan sebanyak 293,000 minggu lepas merupakan angka terendah bagi tempoh sejak Mac 2020, telah memacu pasaran saham Amerika Syarikat.

“Susulan menjejaki kenaikan kukuh dalam tempoh semalaman di Wall Street, kami menjangkakan ekuiti tempatan memperoleh momentum dan pelabur dapat menumpukan perhatian kepada penerima manfaat daripada Belanjawan 2022 yang akan diumumkan nanti.

“Kami menjangkakan ada pengumuman yang baik menerusi bajet itu bagi sektor pembinaan, telekomunikasi dan solar,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) susut setelah melonjak pada sesi sebelum ini, sementara harga minyak mentah meningkat semula melebihi paras AS$84 setong.

Firma pembrokeran itu menambah, penurunan yang dicatatkan harga MSM dan kaunter perladangan mungkin menawarkan peluang belian dalam sektor ini, memandangkan situasi permintaan yang tinggi namun penawaran pula terhad.

Harga minyak mentah pula sewajarnya menjadi petanda baik bagi sektor tenaga, dan sektor teknologi mungkin menjejaki kenaikan kukuh dalam tempoh semalaman di Nasdaq, menurutnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Press Metal naik lima sen kepada RM6.25, Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM8.80, Axiata menokok tiga sen kepada RM4.04, dan CIMB menambah dua sen kepada RM5.14.

Petronas Gas melonjak 10 sen kepada RM17.10 dan Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.20.

Antara saham aktif, Aco Group naik 2.5 sen kepada 35 sen, Serba Dinamik tidak berubah pada 38.5 sen, China Ouhua turun satu sen kepada 9.5 sen, dan NWP Holdings menambah satu sen kepada 30.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 41.19 mata kepada 11,751.35; Indeks FBMT 100 meningkat 32.34 mata kepada 11,383.00; Indeks FBM Emas Shariah menokok 50.79 mata kepada 12,859.38; FBM 70 menambah 61.84 mata kepada 15,371.91 dan FBM ACE melonjak 63.39 mata kepada 7,224.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.30 mata kepada 15,683.23, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 1.26 mata kepada 213.42, dan Indeks Perladangan menambah 20.29 mata kepada 7,017.14. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )