Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Penurunan dalam saham wajaran tinggi utama menyeret turun Bursa Malaysia untuk dibuka rendah pagi ini di tengah-tengah prestasi lemah bursa serantau lain.

Pada 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.92 mata kepada 1,574.06 daripada paras penutup 1,577.98 semalam selepas dibuka rendah turun 2.71 mata kepada 1,575.27.

Keseluruhan suasana pasaran di Bursa Malaysia negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 209 berbanding 136, manakala 266 kaunter kekal tidak berubah, 1,374 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 300.18 juta saham bernilai RM142.46 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Komposit Jakarta jatuh 0.08 peratus kepada 6,233.45, Indeks Straits Times Singapura susut 0.19 peratus kepada 3,247.67 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan berkurangan 0.70 peratus kepada 2,251.28.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata penurunan di FBM KLCI mungkin berterusan di tengah-tengah potensi penurunan apabila para pelabur terus menilai kesan langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar faedahnya susulan penurunan harga minyak mentah dan kelemahan di Wall Street.

“FBM KLCI mungkin terus diniagakan dalam jajaran kecil dengan momentum kecenderungan menurun apabila paras 1,570 akan berfungsi sebagai paras sokongan diikuti paras 1,550. Pemulihan dijangkakan sederhana dengan kenaikan terhad pada paras 1,590.

“Di keseluruhan pasaran, para peniaga mungkin terus memanfaatkan prestasi positif ketika ini yang dicatatkan oleh kaunter berharga rendah. Pada masa yang sama, sektor penjagaan kesihatan terus mempamerkan kekukuhan apabila bilangan mangsa daripada penularan wabak coronavirus semakin meningkat,” kata firma pembrokeran itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank turun tiga sen kepada RM8.52, Public Bank naik dua sen kepada RM19.04, Tenaga jatuh 12 sen kepada RM12.76 dan Petronas Chemicals berkurangan tiga sen kepada RM6.93.

Dalam kalangan kaunter cergas Vortex turun setengah sen kepada lapan sen, Powerwell naik satu sen kepada 29.5 sen dan Icon Offshore meningkat 25 sen kepada 66.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 26.40 mata kepada 11,251.31, Indeks FBM Emas Shariah turun 34.88 mata kepada 11,978.81, Indeks FBMT 100 jatuh 25.51 mata kepada 11,035.79, FBM 70 berkurangan 24.75 mata kepada 14,204.94 dan FBM Ace meningkat 7.40 mata kepada 5,645.47.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.11 mata kepada 151.75, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 16.04 mata kepada 15,098.92 dan Indeks Perladangan jatuh 19.43 mata kepada 7,465.30.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )