Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini berikutan kekurangan sokongan belian ketika pasaran terus mendatar sementara menunggu pemangkin baharu, kata peniaga.

Pada 9.18 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.02 mata kepada 1,566.56 daripada 1,568.58 sewaktu ditutup pada Isnin.

Penunjuk utama itu dibuka susut 5.23 mata kepada 1,563.35.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 366 berbanding 226 manakala 371 kaunter tidak berubah, 1,071 tidak diniagakan dan 35 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.10 bilion saham bernilai RM694.67 juta.

Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup pada paras tertinggi baharu dengan Dow Jones meningkat 1.4 peratus, didorong oleh perkembangan positif membabitkan vaksin COVID-19.

Mengulas keadaan itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata laporan mengenai vaksin yang berpotensi menjadikan pengesanan COVID-19 lebih pantas, akan terus memberi kesan terhadap kaunter yang berkaitan sarung tangan.

Firma pembrokeran itu juga menyifatkan prestasi kukuh saham berkaitan farmaseutikal dijangka berterusan dengan mengundang keuntungan lebih ketara di masa akan datang.

Selain itu, sektor teknologi turut dijangka terus meningkat berikutan laporan bahawa Zodiac (China) Aplied Science & technology Research Centre Ltd kini dalam usaha mengenal pasti untuk menyuntik RM1.50 bilion bagi pembangunan cip 5G dan teknologi berkaitan di Malaysia.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing naik dua sen kepada RM50 dan RM17.00, Top Glove susut 62 sen kepada RM27.28, Tenaga sebaliknya tidak berubah pada RM11.00 manakala Hartalega rendah 52 sen kepada RM16.98.

Bagi saham aktif, XOX tidak berubah pada 23.5 sen, Bintai naik 4.5 sen kepada 45 sen dan Iris menambah setengah sen kepada 40.5 sen.

Kaunter paling rugi adalah Supermax yang jatuh 68 sen kepada RM 21.42 selain Hartalega dan Top Glove.

Kaunter paling untung adalah Dutch Lady yang menokok RM1.00 kepada RM39.00, Pharmaniaga meraih 42 sen kepada RM5.69 dan Petronas Gas meningkat 28 sen kepada RM 17.08.

Di papan indeks menyaksikan indeks FBM Emas turun 30.63 mata kepada 11,287.42, indeks FBMT 100 susut 30.18 mata kepada 11,089.36 manakala FBM 70 merosot 101.88 mata kepada 14,663.03.

Indeks FBM Emas Syariah susut 60.02 mata kepada 13,366.05 dan FBM ACE merosot 105.93 mata kepada 10,839.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 15.15 mata kepada 12,926.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 0.74 mata kepada 142.03 manakala Indeks Perladangan merosot 3.02 mata kepada 7,056.23.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )