Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari terakhir 2020 berikutan momentum belian berkurangan.
Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.07 mata kepada 1,639.34 selepas dibuka rendah 0.15 mata kepada 1,644.26 daripada 1,644.41 semasa ditutup pada Rabu.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 244 berbanding 218, manakala 368 kaunter tidak berubah, 1,291 tidak diniagakan dan 56 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 409.42 juta unit bernilai RM190.01 juta.

Dalam nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka minat dagangan dalam bursa tempatan akan cenderung kepada positif, sejajar dengan pasaran saham Amerika Syarikat yang ditutup tinggi, selain aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun.

“Sementara itu, kami yakin harga minyak mentah Brent akan diniagakan lebih kukuh berikutan pengurangan inventori minyak yang lebih besar daripada jangkaan sebanyak 6.1 juta tong pada minggu berakhir 25 Dis.

“Peserta pasaran boleh memberi tumpuan kepada saham yang pulih, berikutan lebih banyak negara membenarkan vaksin untuk kegunaan kecemasan,” katanya dalam nota hari ini.

Daripada saham wajaran tinggi, Supermax naik tiga sen kepada RM6.01, Telekom Malaysia menambah satu sen kepada RM5.44, manakala TNB, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM10.52, RM7.50 dan RM5.71.

Sementara itu, Maybank merosot empat sen kepada RM8.53, Public Bank dan Hartalega, masing-masing susut enam sen kepada RM20.64 dan RM12.14, Top Glove dan CIMB, masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM6.09 dan RM4.35, manakala Maxis susut dua sen kepada RM5.10.

Daripada saham cergas, Solid Automotive menambah satu sen kepada 25.5 sen, K-One Technology naik 4.5 sen kepada 38.5 sen, BCM Alliance meningkat 1.5 sen kepada 30.5 sen, AT Systematization dan Green Ocean, masing-masing tidak berubah pada 18.5 sen dan 9.5 sen, manakala Techna-X susut setengah sen kepada 15.5 sen dan Ecobuilt merosot dua sen kepada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah susut 25.39 mata kepada 13,249.76, FBM ACE naik 28.69 mata kepada 10,664.18, Indeks FBM Emas berkurangan 27.22 mata kepada 11,841.96, Indeks FBMT 100 merosot 29.79 mata kepada 11,583.38, dan FBM 70 susut 15.95 mata kepada 15,232.81.

Sementara itu, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.35 mata kepada 178.57, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 46.21 mata kepada 15,430.38 dan Indeks Perladangan merosot 38.09 mata kepada 7,374.72.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )