Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lemah pada urus niaga pagi Jumaat, mengambil petunjuk daripada kerugian semalaman yang dialami oleh ekuiti AS.

Bursa tempatan turut bergerak seiring dengan prestasi bursa serantau yang lain.

Hang Seng Hong Kong menyusut 1.13 peratus kepada 28,966.03, Nikkei Jepun lebih rendah sebanyak 0.83 peratus kepada 28,816.86 dan indeks SSE China turut 0.36 peratus kepada 3,584.21.

Pada pukul 9.03 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.31 mata atau 0.39 peratus kepada 1,584.26 daripada 1,590.57 ketika mengakhiri urus niaga petang Khamis.

Indeks utama dibuka 0.27 mata lebih rendah pada 1,590.30.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung dalam julat yang tipis 183 berbalas 175 sementara 237 kaunter tidak berubah, 1,547 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 367.57 juta unit bernilai RM111.88 juta.

Dagangan di Wall Street berakhir agak rendah pada Khamis selepas mengalami sesi yang sukar kerana para pelabur terus mengambil sikap berhati-hati walaupun terdapatnya data ekonomi yang optimis mengenai aktiviti sektor pekerjaan dan perkhidmatan.

Indeks DJIA ditutup 0.07 peratus lebih rendah kepada 34,577.04, sementara S&P 500 dan Nasdaq masing-masing jatuh 0.4 peratus dan satu peratus kepada 4,192.85 dan 13,614.51.

Di bursa tempatan, Malacca Securities Sdn Bhd pula menyatakan kegiatan jualan dapat dilihat pada kaunter berkaitan sarung tangan dan vaksin, sekali gus menyeret turun indeks penjagaan kesihatan.

“Dengan mengambil petunjuk negatif daripada pasaran saham AS, kami menjangkakan bursa tempatan akan bergerak mendatar dengan kekurangan pemangkin baharu di pasaran,” tambahnya.

Selain itu, firma broker itu menambah MRDIY akan menggantikan Supermax di FBM KLCI berikutan kajian separuh tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia yang dilakukan mengikut peraturan asas indeks berkenaan.

Ia berkata pengumuman mengenai kemasukan itu dapat memberi petunjuk cerah kepada saham berkaitan pengguna.

Dari segi komoditi, ia mengunjurkan sedikit penurunan pada minyak sawit mentah (menjejaki pergerakan niaga hadapan soya) sementara minyak mentah berada kukuh melepasi paras AS$70 pada masa ini.

“Kami berpendapat peniaga boleh memberi fokus pada sektor minyak dan gas dalam situasi harga minyak mentah yang lebih kukuh. Juga, kami menjangkakan saham teknologi yang agak ketinggalan serta segmen yang berkaitan perisian IT dapat diniagakan secara aktif.”

Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan pasaran tempatan cenderung untuk bergerak secara mendatar hari ini berikutan kekurangan pemangkin dengan FBM KLCI berlegar antara 1,585 dan 1,595.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.20, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.21, Tenaga susut satu sen kepada RM9.97 sementara PChem lima sen lebih tinggi pada RM8.10.

Kaunter paling kerugian termasuk Nestle yang turun RM1.10 kepada RM134.70, Hong Leong Financial susut 56 sen kepada RM17.38 dan Hartalega jatuh 12 sen pada RM8.56.

Antara saham yang mencatatkan keuntungan besar ialah Computer Form yang meningkat RM1.09 kepada RM4.73, MMC Corp mengukuh 39 sen kepada RM1.69 dan Box-Pak 10 sen lebih tinggi pada RM1.33.

Bagi saham aktif, Zelan naik 6.5 sen kepada 20 sen, Yong Tai meningkat 3.5 sen kepada 30 sen dan Tanco tidak berubah pada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 26.39 mata kepada 11,565.83 dan Indeks FBMT 100 merosot 28.91 mata kepada 11,253.75.

Indeks FBM Emas Syariah merosot 19.16 mata kepada 12,800.15, FBM ACE turun 4.42 mata kepada 7,777.35 sementara FBM 70 naik 23.18 mata kepada 15,031.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 73.86 mata kepada 15,135.99, Indeks Perladangan turun 17.67 mata kepada 6,825.12 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.01 mata kepada 193.51.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)