Bursa malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung membabitkan saham-saham wajaran tinggi.

Menurut peniaga, ini berikutan kelemahan sentimen yang menimbulkan kebimbangan selepas Bank Dunia bertindak menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini.

Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.49 mata kepada 1,537.39 daripada 1,547.65 pada akhir dagangan Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.22 mata kepada 1,546.43.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 269 berbanding 149 manakala 266 kaunter lain tidak berubah, 1,623 tidak diniagakan dan dagangan 68 kaunter lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 395.03 juta unit bernilai RM190.34 juta.

Sementara itu, dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan minat belian bagi kaunter-kaunter pengangkutan dan logistik terus ketara susulan momentum kukuh yang dicatatkan saham terbabit, semalam.

“Pelabur juga dijangka terus meningkatkan pemburuan saham-saham yang mencatat penurunan ketara seperti penerbangan dan pengguna yang turut berkait rapat dengan usaha pemulihan.

“Selain itu, kami juga percaya bahawa beberapa syarikat pembinaan dan hartanah menjadi tumpuan minat selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 serta menjelang Bajet 2022,” katanya.

Firma pembrokeran itu juga menyifatkan FBM KLCI mengakhiri dagangan semalam secara positif , dipacu oleh aktiviti-aktiviti pembelian pada saat-saat akhir.

“Dalam pada itu, sektor tenaga mencatat penyusutan berikutan penurunan harga minyak mentah namun harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat semula dan berkemungkinan menguji paras RM4,500 satu tan,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM8.08, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.07, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing kehilangan empat sen kepada RM8.68 dan RM6.66 manakala TNB menambah satu sen kepada RM9.76.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menguncup setengah sen kepada 11.5 sen, Serba Dinamik turun satu sen kepada 32.5 sen manakala Widad Group naik 1.0 sen kepada 39.5 sen dan Impiana Hotels meningkat setengah sen kepada 9.0 sen.

CEKD menokok sembilan sen kepada 57 sen, Encorp naik 9.5 sen kepada 69 sen, DNex merosot setengah sen kepada 80 sen dan Pegasus Heights tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 63.70 mata kepada 11,281.32. Indeks FBMT 100 turun 66.08 mata kepada 10,973.75, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 77.41 mata kepada 12,316.94, FBM 70 naik 0.81 mata pada 14,926.67 dan FBM ACE susut 3.22 mata kepada 7,161.85.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.82 mata kepada 204.25, Indeks Perladangan turun 33.55 mata kepada 6,314.77 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 69.42 mata kepada 15,190.45.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )