Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini, mengambil isyarat daripada prestasi semalaman yang lemah di Wall Street dan ketidakpastian mengenai pusingan terbaru rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah sedikit, susut 0.05 mata kepada 1,567.54 daripada 1,567.59 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras dibuka 0.56 mata lebih rendah pada 1,567.03

Bagaimanapun, kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 127 berbanding 87, manakala 180 kaunter tidak berubah, 1,582 tidak diniagakan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 137.50 juta saham bernilai RM55.45 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata sejak sekian lama, indeks utama meningkat lebih tinggi di tengah-tengah sentimen ekuiti yang bertambah baik dan membolehkan indeks utama melantun semula daripada keadaan terlebih jual.

Dengan keadaan pasaran bertambah baik, wujud potensi bagi aliran menaik dalam waktu terdekat susulan aktiviti belian semasa harga rendah dijangka meningkat selepas kurangnya aktiviti jualan baru-baru ini, katanya.

“Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa keuntungan mungkin dipengaruhi oleh perkembangan yang masih tidak menentu dalam perdagangan AS-China di mana butiran mengenai perjanjian yang diperkatakan itu masih kabur,” katanya.

“Oleh itu, mungkin ada sedikit kesangsian yang akan mengehadkan keuntungan jangka terdekat,” katanya.

Berhubung kecendungan aliran meningkat, Malacca Securities berkata indeks utama dijangka menguji semula paras rintangan pada 1,572, diikuti pada paras 1,575 manakala paras sokongan pula pada 1,560 dan 1,550, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok satu sen kepada RM8.54, Tenaga susut dua sen kepada RM13.78 dan Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM7.23.

Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM19.16 dan RM5.77.

Antara saham paling aktif, NetX Holdings Hubline, waran Green Packet dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, lima sen, 31.5 sen dan 26.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 2.40 mata kepada 11,153.41, Indeks FBMT 100 naik 2.40 mata kepada 10,970.39, FBM 70 meningkat 10.45 mata kepada 14,036.19 dan FBM Ace menokok 1.73 mata kepada 4,650.93.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 4.01 mata kepada 11,778.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 5.47 mata kepada 15,128.45, Indeks Perladangan turun 5.35 mata kepada 6,594.88 sementara Indeks Produk & Perkhidmatan Industri merosot 0.27 mata kepada 150.53.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)