Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dengan pelabur terus memantau data utama China untuk lebih banyak petunjuk mengenai sejauh mana perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlarutan selama 16 bulan memberi impak kepada ekonomi dunia.

Pada 9 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.43 mata kepada 1,594.79 daripada 1,597.22 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks utama dibuka rendah 1.82 mata kepada 1,595.40.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 93 berbanding 92, dengan 180 kaunter tidak berubah, 1,636 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 87.29 juta saham bernilai RM37.33 juta.

Peniaga berkata pelabur akan meneliti data yang dijangka akan dikeluarkan kemudian untuk mengenal pasti jika langkah-langkah rangsangan yang diambil oleh kerajaan China membantu negara mengurangkan kelembapan ekonomi.

“Bagaimanapun, kami menjangka cabaran kepada ekonomi global untuk pulih dengan perang perdagangan antara AS dan China yang meningkat,” katanya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata penurunan semalam lebih serius daripada jangkaan selepas indeks utama merosot di bawah paras 1,600 mata, yang dilihat sebagai paras psikologi utama selepas sokongan institusi baru-baru ini membantu FBM KLCI kekal melebihi paras tersebut.

“Bagaimanapun, kami berpendapat sokongan baharu akan wujud berikutan kami melihat institusi menjalankan aktiviti membeli saham pada harga rendah yang sederhana ke atas beberapa saham yang membolehkan indeks utama meningkat semula,” katanya dalam nota hari ini.

Firma penyelidikan itu yakin saham berharga rendah dan saham pasaran lebih luas akan meningkat semula dengan cepat selepas merosot semalam, tetapi menjangka menyaksikan peningkatan yang terhad.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM8.67, Tenaga dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM13.78 dan RM5.39, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM19.94.

Daripada saham aktif, Tanco dan Sapura Energy, masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen dan 29 sen, manakala Malayan Flour Mills naik 1.5 sen kepada 73.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 4.26 mata kepada 11,328.09, Indeks FBMT 100 merosot 6.27 mata kepada 11,139.71 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 12.48 mata kepada 11,868.40.

FBM Ace naik 20.18 mata kepada 4,876.39, bagaimanapun FBM 70 turun 22.41 mata kepada 14,114.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 11.72 mata kepada 15,611.66, Indeks Perladangan susut 11.09 mata kepada 6,911.14 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.63 mata kepada 152.18.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)