Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki kerugian dicatatkan oleh Wall Street berikutan kebimbangan mengenai penularan mendadak COVID-19 dengan angka kematian terus meningkat dan memberi kesan terhadap sentimen pasaran.

Pada 9.01 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.83 mata atau 0.426 peratus kepada 1,364.09 daripada 1,369.92 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.46 mata kepada 1,366.46.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 279 berbanding 77 manakala 192 kaunter lain tidak berubah, 1,372 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 208.92 juta bernilai RM64.78 juta.

Pada masa ini, Amerika Syarikat muncul negara dengan kes jangkitan COVID-19 tertinggi di dunia iaitu lebih 383,000 kes disahkan positif serta 12,021 kematian.

Menurut seorang peniaga, pasaran saham AS memasuki semula fasa tidak menentu apabila Indeks Dow Jones susut 0.12 peratus kepada 22,653.83, S & P 500 turun 0.16 peratus kepada 2,659.41 manakala Nasdaq Composite merosot 0.33 peratus kepada 7,887.26.

“Oleh itu, ekonomi global masih dalam keadaan tidak menentu susulan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan yang terus ketara dan boleh menyebabkan pendapatan korporat menjadi lemah,” katanya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran kekal berhati-hati yang hanya menjejaskan prospek pasaran bagi jangka panjang.

“Wall Street misalnya telah mencatat penurunan semalaman dan berkemungkinan turut mendorong Bursa Malaysia untuk mencatat prestasi serupa. Pada masa ini, paras rintangan FBM KLCI masing-masing pada tahap 1,400 dan 1,455 manakala paras sokongan 1,300,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu dalam notanya, walaupun saham berharga rendah serta pasaran saham secara amnya meningkat beberapa hari lepas, namun prospek bagi jangka terdekat adalah berbeza berikutan kekurangan pemangkin pasaran.

Malacca Securities berkata momentum pasaran yang positif itu mungkin menjadi fasa konsolidasi apabila prospek peningkatan sebaliknya dijejaskan oleh aktiviti penjualan ketara dengan kalangan penggiat runcit mahu mendapatkan keuntungan masing-masing.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut tiga sen kepada RM7.80, Public Bank turun empat sen kepada RM15.86, IHH rugi enam sen kepada RM5.06 manakala Tenaga tidak berubah pada RM12.20.

Bagi saham aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 10.5 sen, Hibiscus Petroleum merosot dua sen kepada 50.5 sen dan Bumi Armada susut setengah sen kepada 17.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 46.00 mata kepada 9,431.71, Indeks FBM Emas Shariah turun 43.89 mata kepada 10,358.67 manakala Indeks FBMT 100 susut 47.05 mata kepada 9,320.72.

FBM 70 susut 85.62 mata kepada 10,998.58 dan FBM Ace turun 49.10 mata kepada 4,183.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.53 mata kepada 108.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 64.53 mata kepada 12,351.77 dan Indeks Perladangan rendah 44.52 mata kepada 6,307.29.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )