Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi melantun semula selepasnya meneruskan aliran meningkat sesi sebelumnya menjelang pengumuman angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama negara esok.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.02 mata kepada 1,386.33 berbanding 1,382.31 pada paras penutup Jumaat minggu lepas, selepas dibuka 2.87 mata lebih rendah kepada 1,379.44.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti umum Nuzul Al-Quran yang jatuh pada Ahad.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 331 berbanding 143, manakala 266 kaunter tidak berubah, 1,143 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 429.19 juta unit bernilai RM211.87 juta.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan KDNK suku pertama Malaysia pada 13 Mei dengan pertumbuhan dijangkakan berada antara 0.8 peratus dan lebih daripada 4.0 peratus.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata saham Asia dijangka bercampur-campur apabila para peniaga menilai cabaran ekonomi yang dihadapi dalam usaha menarik balik sekatan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

“Sektor tenaga agak lemah memandangkan penurunan harga minyak meskipun tambahan pengurangan pengeluaran oleh Arab Saudi tetapi ianya berkaitan dengan lantunan semula dan perspektif keseluruhannya bertambah baik perlahan-lahan memandangkan jangkaan pembukaan semula ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Di luar negara, para pelabur juga menunggu ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell mengenai isu semasa yang dihadapi ekonomi AS pada Rabu serta pengumuman beberapa data utama.

Data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian AS bagi April serta pengeluaran perindustrian, jualan runcit dan data pengangguran China bagi April dijangka dikeluarkan pada Jumaat.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini dilanjutkan bagi tempoh sebulan lagi sehingga 9 Jun, ia merasakan FBM KLCI mungkin terus berada dalam situasi tidak berubah dengan paras ketahanan segera diunjurkan pada paras psikologi 1,400 dalam tempoh terdekat. Manakala paras sokongan diunjurkan pada paras 1,360.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Top Glove meningkat 92 sen kepada RM8.26, Hartalega naik 20 sen kepada RM7.57 dan Sime Darby Plantation menokok lima sen kepada RM4.82.

Maybank dan Axiata setiap satu naik dua sen masing-masing kepada RM7.43 dan RM3.91.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hubline tidak berubah pada lima sen, Careplus meningkat 5.5 sen kepada 64.5 sen, Ageson jatuh dua sen kepada 15.5 sen dan Key Alliance tidak berubah pada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.93 mata kepada 9,768.84, Indeks FBMT 100 naik 29.20 mata kepada 9,615.71, Indeks FBM Emas Shariah menokok 57.26 mata kepada 10,903.71, FBM ACE menambah 43.33 mata kepada 5,064.74 dan FBM 70 mengukuh 41.77 mata kepada 11,941.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.15 mata kepada 12,291.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.29 mata kepada 120.93 manakala Indeks Perladangan menokok 2.56 mata kepada 6,242.32.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)