Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, susut daripada kenaikan semalam berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan sekatan pergerakan di beberapa negeri yang menjejaskan sentimen pelabur, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.46 mata kepada 1,597.49 selepas dibuka rendah satu mata kepada 1,601.95, daripada 1,602.95 semasa ditutup pada Khamis.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 238 berbanding 191, manakala 304 kaunter tidak berubah, 1,351 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 255.42 juta unit bernilai RM149.35 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata selepas Wall Street semalaman ditutup kukuh, pasaran serantau dijangka diniagakan tinggi hari ini berikutan dana asing masuk ke pasaran sedang pesat membangun.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI — yang menyaksikan sokongan belian yang kukuh semalam akan naik melepasi had 1,600 — akan terus meningkat, berpotensi menguji paras 1,610 hari ini, katanya.

“Bagaimanapun, pelabur masih bimbang mengenai pendirian kerajaan; berikutan kemungkinan sekatan pergerakan boleh mengekang kemajuan,” katanya dalam nota.

Sementara itu, memandangkan harga minyak mentah terus pulih dengan penanda aras minyak mentah Brent melebihi US$54 setong, saham minyak dan gas mungkin bersedia untuk minat dagangan, kata Yee.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan lapan sen kepada RM8.20, Public Bank merosot 14 sen kepada RM20.26, Tenaga dan IHH Healthcare, masing-masing susut 10 sen kepada RM10.42 dan RM5.60, Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM7.04, manakala Top Glove naik lapan sen kepada RM5.88.

Daripada saham cergas, DGB, Nexgram dan AT Systematization, masing-masing naik setengah sen kepada 28 sen, lima sen dan 18.5 sen, CHI merosot setengah sen kepada 12 sen, manakala PUC tidak berubah pada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 32.43 mata kepada 11,479.03, Indeks FBMT 100 merosot 36.21 mata kepada 11,225.03, FBM 70 berkurangan 38.26 mata kepada 14,518.17 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 8.79 mata kepada 12,919.09

Bagaimanapun, FBM ACE naik 13.04 mata kepada 10,554.01.

Sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 87.54 mata kepada 14,880.45, Indeks Perladangan susut 44.29 mata kepada 7,375.75 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.03 mata kepada 171.84.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )