Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi semalaman pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang suram berikutan kebimbangan yang berpanjangan mengenai pertumbuhan ekonomi yang perlahan, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.94 mata kepada 1,592.69 daripada 1,597.63 semasa ditutup pada Rabu.

Ia dibuka rendah 5.45 mata kepada 1,592.18.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 197 berbanding 161, manakala 275 kaunter tidak berubah, 1,586 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 209.25 juta unit bernilai RM93.14 juta.

Dalam nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pemulihan ekonomi negara dilihat berada pada landasan yang tepat dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini dan kes aktif yang jatuh untuk lapan hari berturut-turut.

“Pelabur dijangka lebih optimis pada masa depan. Bagaimanapun, mereka mungkin berhati-hati sedikit menjelang keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia hari ini, yang akan memberi petunjuk mengenai situasi ekonomi semasa dan prospek pemulihan Malaysia pada masa depan,” katanya.

Mengenai komoditi, katanya harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah berada pada aliran meningkat.

Malacca Securities juga berkata, pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi memberi prospek yang baik kepada sektor yang mencatatkan pemulihan seperti kaunter berkaitan pengguna, pembinaan dan berkaitan hartanah manakala harga MSM yang meningkat dijangka menarik minat belian di kaunter perladangan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM8.33, Petronas Chemicals naik lima sen kepada RM8.14, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM10.34 dan IHH Healthcare menambah 13 sen kepada RM6.53 manakala Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.12.

Daripada saham aktif, SYF Resources naik 1.5 sen kepada 45.5 sen, PAOS Holdings menambah dua sen kepada sembilan sen, Kanger susut setengah sen kepada 5.5 sen, Lambo berkurangan satu sen kepada 11.5 sen manakala KNM tidak berubah pada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 31.73 mata kepada 11,633.57, Indeks FBMT 100 merosot 34.73 mata kepada 11,329.72 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 27.34 mata kepada 12,760.99.

FBM 70 berkurangan 44.90 mata kepada 15,195.62 manakala FBM ACE menambah 6.73 mata kepada 7,258.81.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 51.10 mata kepada 6,677.45 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 51.51 mata kepada 15,474.93 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.29 mata kepada 202.90.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)