Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan trend menurunnya minggu ini kerana kekurangan pemangkin di pasaran ketika dibuka untuk urus niaga pagi Isnin ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.22 mata atau 0.27 peratus kepada 1,544.29 daripada penutupan urus niaga Jumaat pada 1,548.51.

Indeks utama dibuka 0.89 mata lebih rendah pada 1,547.62.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 263 berbalas 154 sementara 306 kaunter tidak berubah, 1,553 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan 220.87 juta unit bernilai RM111.02 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan mungkin menyaksikan aktiviti membeli ketika saham berharga murah berikutan penurunan kes harian COVID-19 yang disahkan sementara menantikan pengumuman data kadar inflasi Malaysia pada hari Jumaat ini.

Malaysia mencatatkan 14,954 jangkitan COVID-19 baharu pada hari Ahad, merosot ke bawah paras 15,000 kes untuk pertama kali sejak 26 Julai apabila jumlah harian pada ketika itu mencatatkan 14,516 kes.

“Selain itu, penurunan jumlah kes harian COVID-19 yang disahkan dapat menjadi petanda baik bagi sektor tema pemulihan seperti pengguna, pelancongan dan pembinaan serta bahan bangunan terpilih.

“Sementara itu, sektor teknologi masih kelihatan menarik kerana minat belian masih meningkat di sektor ini walaupun sentimen pasaran lebih lemah,” katanya dalam catatan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Axiata masing-masing naik empat sen kepada RM8.29 dan RM3.95, TNB meningkat dua sen kepada RM9.92, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.94 dan RM6.70, sementara Public Bank susut tiga sen kepada RM4.03 dan CIMB turun satu sen kepada RM4.81.

Bagi saham aktif, KNM menokok satu sen kepada 27.5 sen, Emico naik 1.5 sen kepada 68 sen, Bioalpha menambah setengah sen kepada 23 sen.

Sementara itu, Sapura Energy, Dagang Nexchange tidak berubah pada 12 sen dan 80 sen, sementara Tanco susut setengah sen kepada 23 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 30.38 mata kepada 11,335.44, Indeks FBMT 100 turun 31.63 mata pada 11,028.23, Indeks FBM Emas Syariah susut 32.93 mata kepada 12,381.21, FBM 70 berkurangan 48.74 mata kepada 14,958.55 sementara FBM ACE lega 6.96 mata kepada 7,194.26.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengukuh 12.22 mata kepada 6,438.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.64 mata kepada 198.97, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 47.40 mata kepada 15,242.40.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )