Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia susut pada awal dagangan Selasa, seiring dengan prestasi semalaman Wall Street.

Pada 9.06 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.93 mata atau 0.32 peratus kepada 1,522.96 daripada 1,527.89 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu dibuka, indeks penanda aras berkenaan susut 3.18 mata kepada 1,524.71.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 447 berbanding 63 manakala 240 kaunter lain tidak berubah, 1,522 tidak diniagakan dan lima lain digantung dagangannya.

Sementara itu Malacca Securities Sdn Bhd berkata berdasarkan prestasi negatif Wall Street, pasaran berkemungkinan menyaksikan aktiviti jualan pada awal dagangan dan disusuli dengan aktiviti membeli saham berharga rendah selepas berakhirnya tekanan jualan berkenaan.

“Selain itu, langkah kerajaan membincangkan kemungkinan untuk membenarkan pelancongan rentas atau antara negeri dalam usaha pemulihan ekonomi secara berperingkat, juga berpotensi menjadi antara pemangkin yang dapat mengurangkan risiko penyusutan dalam masa terdekat,” kata firma pembrokeran itu dalam nota tinjauannya pada hari ini.

Menurutnya, kalangan pelabur juga dijangka membeli saham-saham yang menumpukan pemulihan dengan menyasarkan sektor pelancongan dan pengguna susulan perbincangan berikutnya berkenaan kemungkinan membenarkan perjalanan antara negeri zon hijau.

“Peniaga juga berkemungkinan meninjau saham-saham dengan momentum lebih kukuh dalam sektor teknologi yang melanjutkan lagi minat belian pada hari ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB menokok satu sen kepada RM4.81, Axiata meraih dua sen kepada RM3.97, Press Metal dan Maxis masing-masing meningkat lima sen kepada RM5.65 dan RM4.67, Maybank dan Public Bank masing-masing susut dua sen kepada RM8.28 dan RM4 manakala Petronas Chemicals untung lima sen kepada RM7.90.

Bagi saham aktif, Emico naik tiga sen kepada 57.5 sen, Impiana menokok setengah sen kepada sembilan sen, Bintai Kinden meningkat setengah sen kepada 57.5 sen, EA Holdings dan Yong Tai tidak berubah masing-masing pada dua sen dan 16 sen manakala Sanichi dan Dagang Nexchange susut setengah sen masing-masing kepada 3.5 sen dan 75.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 47.04 mata kepada 11,158.58, Indeks FBMT 100 berkurangan 42.25 mata kepada 10,869.31, Indeks FBM Emas Shariah turun 66.05 mata kepada 12,115.39, FBM 70 berkurangan 84.85 mata kepada 14,717.30 dan FBM ACE kehilangan 75.06 mata kepada 6,931.55.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 1.44 mata kepada 6,239.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.72 mata kepada 195.93 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 30.82 mata kepada 15,203.58.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )