Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.72 mata atau 0.44 peratus kepada 1,523.72 daripada 1,530.44 semasa ditutup pada Selasa.

Ia dibuka rendah 5.81 mata kepada 1,524.63.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 268 berbanding 168 manakala 266 kaunter tidak berubah, 1,570 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 302.50 juta unit bernilai RM168.91 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata lanjutan daripada peningkatan semula semalam dijangka dapat dilihat dalam sektor terpilih hari ini berikutan kerajaan telah mencadangkan tiga lagi destinasi percutian untuk dibuka semula di bawah gelembung pelancongan domestik berikutan penurunan jumlah kes COVID-19 yang aktif.

“Cadangan tiga lagi destinasi di bawah gelembung pelancongan domestik, yang menunjukkan pembukaan semula ekonomi seterusnya, memberi prospek yang baik kepada sektor yang mencatatkan pemulihan seperti penerbangan, pelancongan dan pengguna.

“Sementara itu, berdasarkan momentum positif sektor teknologi, kami menjangka minat belian akan meningkat sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan bahawa Genting Highlands, Melaka dan Pulau Tioman bakal menjadi destinasi baharu bagi pelaksanaan gelembung pelancongan negara.

Katanya, destinasi terbabit mungkin dibuka semula untuk menerima pengunjung bermula 1 Oktober.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan TNB, masing-masing naik lima sen kepada RM8.10 dan RM9.87 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.02, Petronas Chemicals berkurangan lima sen kepada RM7.91 dan IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM6.57.

Daripada saham aktif, Tanco meningkat satu sen kepada 25 sen, Bintai Kinden naik 4.5 sen kepada 61.5 sen, Kejuruteraan Asastera menambah dua sen kepada 39.5 sen, Fintec tidak berubah pada dua sen dan Serba Dinamik merosot setengah sen kepada 36 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 38.66 mata kepada 11,183.74, Indeks FBMT 100 susut 38.68 mata kepada 10,893.10, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 30.13 mata kepada 12,167.75, FBM 70 turun 16.19 mata kepada 14,821.31 dan FBM ACE merosot 18.43 mata kepada 6,977.19.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan jatuh 23.83 mata kepada 6,260.99, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.02 mata kepada 196.50 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 121.08 mata kepada 15,133.12.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )