Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan kenaikan semalam, seiring dengan sentimen lemah di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.43 mata kepada 1,537.39 daripada 1,546.82 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ia dibuka rendah 4.86 mata kepada 1,541.96.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 389 kepada 116, manakala 275 kaunter tidak berubah, 1,524 tidak diniagakan dan 85 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 392.98 juta unit bernilai RM237.78 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan hari ini berkata, di sebalik unjuran ekonomi yang optimis, pelabur mungkin kekal berhati-hati hari ini sementara menunggu aktiviti ekonomi kembali normal.

“FBM KLCI ditutup tinggi semalam disokong sentimen positif berikutan pelabur mula menilai prospek ekonomi positif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta peningkatan dalam sektor tenaga selepas harga minyak mentah menokok melepasi paras AS$80 setong.

“Bagaimanapun, penurunan harga minyak mentah di bawah paras AS$80 mungkin menyaksikan wujudnya beberapa aktiviti pengambilan untung. Bagaimanapun, kami masih menjangka sektor yang bertahan seperti pengguna dan penjagaan kesihatan akan kembali menjadi perhatian,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank turun 2.0 sen kepada RM8.08, Public Bank jatuh 4.0 sen kepada RM4.07, Petronas Chemicals turun 5.0 sen kepada RM8.60 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.70, manakala TNB meningkat 6.0 sen kepada RM9.74.

Bagi saham aktif, CEKD menambah 9.0 sen kepada 57 sen, Encorp naik 9.5 sen kepada 69 sen, DNex turun setengah sen kepada 80 sen dan Pegasus Heights tidak berubah pada 1.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 59.56 mata kepada 11,272.27, Indeks FBMT 100 susut 62.03 mata kepada 10,966.96, Indeks FBM Emas Syariah jatuh 72.51 mata kepada 12,302.77, FBM 70 rendah 63.43 mata kepada 14,828.75, dan FBM ACE merosot 45.78 mata kepada 7,140.30.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.93 mata kepada 203.16, Indeks Perladangan jatuh 16.47 mata kepada 6,319.09, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 42.08 mata kepada 15,188.95.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)