Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia susut daripada peningkatan semalam apabila dibuka rendah pagi ini berikutan jualan saham-saham perladangan walaupun perkembangan luaran sebaliknya lebih positif susulan pemeteraian persetujuan perdagangan Amerika Syarikat(AS)-China.

Pada 9.07 pagi ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.31 mata kepada 1,578.83 berbanding 1,585.14 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 3.02 mata kepada 1,582.12.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 140 berbanding 129 manakala 195 kaunter tidak berubah, 1,503 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 201.25 juta saham bernilai RM68.67 juta.

Saham perladangan menyaksikan KLK rugi 58 sen kepada RM24.00, IOI Corporation turun lapan sen kepada RM4.60, PPB Group susut 28 sen kepada RM18.34 manakala Sime Darby Plantation rendah tiga sen kepada RM5.27.

Prestasi saham-saham tersebut terbukti mengheret turun indeks dengan gabungan 3.049 mata.

Dalam satu nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata persetujuan perdagangan antara AS dan China mungkin menyebabkan indeks utama menguji tahap rintangan 1,590 berikutan bursa tempatan tempatan berpotensi berada sekitar paras psikologi pada 1,600.

“Buat sementara ini, paras rintangan segera adalah 1,565 dan diikuti tahap 1,550.

“Saham-saham berharga rendah dan di pasaran utama berjaya mencatat peningkatan semalam. Sehubungan itu, aktiviti belian secara bergilir-gilir mungkin berlanjutan pada masa ini dan menjelang tempoh sambutan Tahun Baru Cina,” kata firma penyelidikan itu.

Malam tadi, AS memeterai persetujuan perdagangan fasa pertama dengan China yang bertujuan menamatkan pertikaian perdagangan, termasuk menyebabkan pelaksanaan cukai ke atas dagangan bernilai berbilion-bilion dolar.

Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi dua sen kepada RM8.58, Public Bank turun lapan sen kepada RM19.48, Tenaga susut 12 sen kepada RM12.78, Petronas Chemicals dan CIMB pula masing-masing rendah satu sen kepada RM7.02 dan RM5.17 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.55.

Bagi saham aktif, Hubline rugi setengah sen kepada 3.5 sen, Vortex tidak berubah pada 13.5 sen, Yong Tai naik setengah sen kepada 15.5 sen manakala Cuscapi untung satu sen kepada 17.5 sen.

Indeks indeks FBM Emas turun 35.11 mata kepada 11,268.06, Indeks FBM Emas Syariah susut 42.85 mata kepada 11,880.05, Indeks FBMT 100 berkurangan 36.59 mata kepada 11,054.87, FBM 70 turun 15.87 mata kepada 14,170.76 dan FBM Ace berkurangan 15.59 mata kepada 5,544.48.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.25 mata kepada 153.16, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 47.3 mata kepada 15,387.56 manakala Indeks Perladangan turun 67.55 mata kepada 7,499.31.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)