Bursa malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung di kaunter berwajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 9.52 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.18 mata kepada 1,529.62 daripada penutupan urus niaga petang Khamis pada 1,537.80.

Indeks utama dibuka 1.31 mata lebih rendah pada 1,536.49.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 453 berbalas 204 manakala 357 kaunter tidak berubah, 1,230 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan ialah 931.15 juta unit bernilai RM473.44 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, ia menjangkakan fasa penstabilan di pasaran tempatan akan muncul dalam tempoh terdekat berikutan sentimen lemah di pasaran semalaman Wall Street.

“Bagi komoditi pula, harga minyak sawit mentah (MSM) telah diniagakan melepasi paras RM4,500 satu tan di sebalik kebimbangan para pelabur terhadap bekalan kerana pengeluaran pada kebiasaannya memuncak pada September hingga Oktober.

“Harga tinggi sepanjang masa MSM baik untuk sektor perladangan.

“Kami turut berpendapat kegiatan membeli saham murah terutamanya yang bertemakan pemulihan akan berterusan dan untuk itu, pelabur akan memberi tumpuan kepada sektor pengguna, penerbangan dan pelancongan,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank bertambah 2.0 sen kepada RM8.07, sementara Public Bank dan TNB masing-masing turun 1.0 sen kepada RM4.06 dan RM9.67, Petronas Chemicals menyusut 8.0 sen kepada RM8.62, dan IHH Healthcare berkurangan 3.0 sen menjadi RM6.67.

Bagi saham aktif, Sapura Energy lega setengah sen kepada 11 sen, NWP Holdings tidak berubah pada 26.5 sen, sementara MESB naik 8.0 sen kepada 55.5 sen dan Widad Group menokok setengah sen kepada 39.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 46.55 mata kepada 11,264.53, Indeks FBMT 100 susut 50.59 mata kepada 10,947.16, Indeks FBM Emas Syariah merosot 58.61 mata kepada 12,300.40, FBM 70 lebih rendah 39.61 mata pada 14,941.14, dan FBM ACE berkurangan 34.23 mata kepada 7,124.67.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.05 mata kepada 203.18, Indeks Perladangan naik 19.09 mata kepada 6,347.43, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 32.55 mata kepada 15,174.80.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)