Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa, sekali gus meneruskan aliran penurunan berikutan pelabur masih berhati-hati dengan perkembangan luaran yang lemah dalam situasi kekurangan pemangkin domestik, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras susut 4.78 mata kepada 1,517.69 daripada 1,522.47 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama pasaran itu dibuka 0.23 mata lebih rendah pada 1,522.24.

RHB Bank mendahului penurunan dalam kalangan 30 kaunter berkaitan indeks apabila susut 13 sen atau 2.35 peratus kepada RM5.25 dengan 75,200 saham bertukar tangan.

Bank itu menyeret turun indeks komposit secara ketara iaitu sebanyak 2.021 mata.

Peniaga berkata, sentimen dibelenggu kemelut siling hutang Amerika Syarikat (AS) serta isu hutang firma China, Evergrande Group.

Bagaimanapun, pasaran akan disokong oleh pembelian dalam sektor bertemakan pemulihan susulan kadar vaksinasi golongan dewasa kini mencecah 88.0 peratus dan jumlah kes COVID-19 yang disahkan setiap hari berada dalam aliran menurun, katanya.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan jumlah kes baharu COVID-19 yang direkodkan di Malaysia terus susut kepada 8,075 daripada 9,066 kes yang dicatatkan pada Ahad.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 293 berbanding 133, sementara 240 kaunter tidak berubah, 1,579 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 257.03 juta unit bernilai RM124.93 juta.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut dua sen kepada RM8.01, RM4.01 dan RM8.63 manakala Tenaga turun satu sen kepada RM9.62, CIMB kurang tiga sen kepada RM4.67 sementara IHH naik 10 sen kepada RM6.70.

Antara saham aktif, KNM naik satu sen kepada 24.5 sen, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 10.5 sen, Dagang Nexchange turun satu sen kepada 73 sen, sementara Tanco dan Kanger masing-masing tidak berubah pada 24 sen dan lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 34.92 mata kepada 11,202.51, Indeks FBMT 100 susut 37.07 mata kepada 10,877.92, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 31.39 mata kepada 12,240.44, FBM 70 merosot 61.77 mata kepada 14,909.71 dan FBM ACE kurang 28.2 mata kepada 7,030.26.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.18 mata kepada 203.26, Indeks Perladangan menguncup 26.32 mata kepada 6,298.17 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 92.39 mata kepada 15,039.48.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )