Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa, menjejaki sentimen negatif terhadap prestasi semalaman Wall Street susulan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi serta kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bertindak menamatkan langkah-langkah rangsangan ekonomi.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.82 mata kepada 1,519.52 daripada 1,522.34 pada akhir dagangan Isnin.

Sewaktu dibuka, indeks tersebut turun 0.87 mata kepada 1,521.47.

Pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 168 berbanding 134 manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,760 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 207.34 juta unit bernilai RM76.62 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata, pembukaan semula aktiviti perniagaan dan sempadan adalah perkembangan yang baik bagi menjana ekonomi dalam usaha melangkah ke hadapan.

“Pelabur dapat meninjau peluang dalam saham-saham teknologi dan berkaitan pengguna yang susut baru-baru ini di tengah-tengah peluang memburu saham-saham berharga rendah,” katanya.

Firma pembrokeran itu berkata sektor teknologi misalnya dijangka terus meningkat berikutan prospek pendapatannya yang lebih cerah.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM8.08, Public Bank tidak berubah pada RM4.01 manakala Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM8.30.

Bagi saham aktif, ARB menokok 3.5 sen kepada 20 sen, MMAG tidak berubah pada 10 sen dan Ageson turun setengah sen kepada lima sen.

Kaunter paling rugi adalah Genetec yang kerugian 22 sen kepada RM42.02, Hong Leong Bank berkurangan 14 sen kepada RM18 dan Tafi Industries turun 11 sen kepada RM3.62.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 9.56 mata kepada 11,262.19, Indeks FBMT 100 susut 13.04 mata kepada 10,892.74, Indeks FBM Emas Syariah merosot 5.34 mata kepada 12,271.53 dan FBM ACE turun 32.61 mata kepada 6,942.26 manakala FBM 70 naik 10.04 mata kepada 14,936.65.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.12 mata kepada 199.82, Indeks Perladangan berkurangan 7.33 mata kepada 6,548.31 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 27.17 mata kepada 15,128.63.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)