Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini, menjejaki prestasi lemah semalaman Wall Street di tengah-tengah kebimbangan mengenai tekanan inflasi selain jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih awal, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.29 mata kepada 1,524.84 daripada 1,525.13 ketika penutupan urus niaga Rabu.

Indeks utama dibuka 0.55 mata lebih rendah pada 1,524.58.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 218 berbalas 116 manakala 241 kaunter tidak berubah, 1,748 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 195.73 juta unit bernilai RM79.46 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur mungkin kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat sementara menunggu lebih banyak pengumuman laporan pendapatan korporat serta petunjuk lanjut daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai dasar monetari pada masa hadapan.

“Sementara itu, peserta pasaran mungkin membuat spekulasi akan kenaikan kadar faedah yang lebih awal,” katanya dalam nota hari ini.

Dalam pada itu, tekanan jualan yang membabitkan kaunter minyak dan gas terus meningkat berikutan ulasan daripada ketua Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengenai kemungkinan berlaku lebihan minyak dalam jangka terdekat.

Ini dikatakan telah menyumbang kepada penurunan harga minyak semalaman, tetapi masih berlegar di atas paras AS$80 setong, tambah firma penyelidikan itu.

“Selain itu, lonjakan kes COVID-19 mungkin mendorong peniaga untuk beralih ke syarikat sarung tangan sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat ini,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals turun satu sen setiap satu kepada RM8.06 dan RM8.30, manakala Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing pada RM4.05 dan RM6.55.

Bagi saham aktif, WZ Satu naik 3.5 sen kepada 26 sen, Tanco menokok satu sen kepada 27.5 sen, manakala Advance Synergy berkurangan satu sen kepada 12 sen dan Sapura Energy tidak berubah pada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 6.24 mata kepada 11,225.14, Indeks FBMT 100 susut 4.26 mata kepada 10,897.11, Indeks FBM Emas Syariah lemah 7.26 mata kepada 12,223.28, FBM ACE mengukuh 7.65 mata kepada 6,811.79, dan FBM 70 merosot 14.37 mata kepada 14,811.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.17 mata kepada 15,195.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 0.43 mata kepada 198.93, dan Indeks Perladangan menokok 18.64 mata kepada 6,562.54.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)