Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi Isnin dengan indek utama menyusut 0.15 peratus, diheret turun oleh kaunter wajaran tinggi terpilih.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.24 mata kepada 1,523.30 berbanding 1,525.54 pada penutupan petang urus niaga Jumaat.

Indeks utama dibuka 1.22 mata lebih tinggi pada 1,526.76.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 214 berbalas 165 manakala 261 kaunter tidak berubah, 1,682 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 140.14 juta unit bernilai RM840.21 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya minat belian mungkin bersambung semula di bursa tempatan memandangkan pilihan raya negeri Melaka telah berakhir pada Sabtu.

Bagaimanapun, peningkatan itu mungkin terhad berikutan kebimbangan mengenai kebangkitan semula kes COVID-19 di negara-negara Eropah, yang mungkin berpotensi melembapkan pemulihan ekonomi pada masa hadapan, tambahnya.

“Sementara itu, penyusutan harga minyak mentah di bawah paras AS$80 setong boleh mencetuskan sedikit tekanan jualan dalam sektor tenaga.

Minyak sawit mentah (MSM) kini berlegar dalam sekitar zon RM5,000,” kata Melaka Securities dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma broker itu berkata memandangkan Nasdaq telah ditutup melepasi paras 16,000 pada hari Jumaat, pasaran mungkin menyaksikan minat belian berterusan dalam saham teknologi tempatan, menjejaki kenaikan semalaman Nasdaq.

Ia menambah pelabur mengurangkan pendedahan ke atas saham minyak dan gas berikutan kejatuhan harga minyak mentah, manakala peniaga mungkin berminat untuk meletakkan pegangan mereka menjelang musim pelaporan keputusan kewangan dengan saham perladangan cenderung mempamerkan momentum pendapatan yang kukuh di tengah-tengah kenaikan harga MSM.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.08, Maybank dan TNB tidak berubah, masing-masing pada RM8.08 dan RM9.55, manakala Petronas Chemicals susut dua sen kepada RM8.29, IHH Healthcare lemah tiga sen kepada RM6.51 dan Hong Leong Bank lebih rendah 18 sen kepada RM18.14.

Bagi saham aktif, PDZ Holdings dan Kejuruteraan Asastera naik setengah sen setiap satu kepada 6.5 sen dan 35 sen, manakala Tanco tidak berubah pada 27 sen, Advance Synergy susut 1.5 sen kepada 11 sen, Scope Industries lega 2.5 sen kepada 37.5 sen dan AirAsia susut 4.0 sen kepada RM1.01.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 9.77 mata kepada 11,235.87, Indeks FBMT 100 merosot 10.25 mata kepada 10,885.33, Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 9.36 mata kepada 12,218.39, FBM ACE menguncup 22.64 mata kepada 6,792.42 tetapi FBM 70 menambah 8.42 mata kepada 14,791.98.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.25 mata kepada 200.04, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 22.60 mata kepada 15,202.98, dan Indeks Perladangan turun 6.88 mata kepada 6,598.22.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )