Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi kemudian meningkat kembali

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi kemudian meningkat kembali

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, namun meningkat semula berikutan kembalinya aktiviti belian dalam saham wajaran tinggi terpilih yang mengimbangi penurunan terdahulu, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.20 mata kepada 1,521.94 daripada 1,520.74 sewaktu ditutup pada Rabu, selepas dibuka rendah 0.26 mata kepada 1,520.48.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 218 kepada 129, manakala 267 kaunter tidak berubah, 1,678 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 232.21 juta unit bernilai RM110.29 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI mungkin terus memaparkan sentimen lemah berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap tekanan inflasi susulan Indeks Harga Pengeluar China yang lebih tinggi daripada jangkaan.

“Malah, dengan prestasi negatif Wall Street terutamanya dalam sektor teknologi, minat jualan mungkin memberikan manfaat kepada pasaran tempatan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, penggiat pasaran akan melaksanakan strategi tunggu dan lihat menjelang data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga yang akan dikeluarkan esok.

“Meskipun sentimen mungkin bertukar lemah di pasaran meluas, kita menyaksikan prospek yang lebih cerah terhadap sektor penerbangan dan pelancongan dalam jangka pertengahan hingga panjang, berikutan pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat untuk pelancong antarabangsa.

“Sementara itu, kami turut menjangka saham-saham berkaitan perabot akan mendapat perhatian dalam musim pelaporan akan datang di tengah-tengah permintaan yang lebih tinggi terhadap perabot ketika tempoh bekerja dari rumah,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB meningkat 3.0 mata masing-masing kepada RM8.02 dan 9.61, IHH Healthcare naik 10 sen kepada RM6.55, Public Bank jatuh 1.0 sen kepada RM4.01 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.30.

Bagi saham aktif, XOX and Tanco Holdings tidak berubah, masing-masing pada 3.5 sen dan 27 sen, manakala Iconic Worldwide menokok 1.5 sen kepada 47.5 sen dan Ecomate menokok setengah sen kepada 52.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 0.83 mata kepada 11,265.75, Indeks FBMT 100 naik 0.59 mata kepada 10,901.13, Indeks FBM Emas Syariah jatuh 2.51 mata kepada 12,276.08, FBM ACE meningkat 26.58 mata kepada 6,965.16 dan FBM 70 turun 30.04 mata kepada 14,913.10.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.06 mata kepada 201.47, Indeks Perladangan menambah 1.37 mata kepada 6,631.26, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.57 mata kepada 15,094.82.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)