Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini susulan sentimen tunggu dan lihat pasaran menantikan pemangkin baharu untuk melonjakkan pasaran ekuiti, termasuk pengumuman mengenai kedudukan bon kerajaan Malaysia dalam tinjauan Indeks Bon Dunia pada bulan ini.

Pada 9.13 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.83 mata kepada 1,592.10 berbanding 1,592.93 semalam.

Indeks itu dibuka menokok 0.57 mata kepada 1,593.50.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 142 berbanding 103 manakala 175 kaunter tidak berubah, 1,565 tidak diniagakan dan dagangan 23 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 122.91 juta saham bernilai RM34.36 juta.

Sementara itu, dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities berkata indeks utama itu kekal dalam ketidaktentuan yang lebih lama daripada dijangkakan dan memberi tekanan kepada tahap sokongan di bawah 1,590.

“Jika ini berterusan, ia boleh melepasi paras sokongan dan seterusnya mencecah hingga 1,580. Paras rintangan kekal pada tahap 1,600 dan 1,610,” kata firma itu.

Ia turut menyifatkan prospek saham lebih rendah dan sebaliknya di pasaran, turut terjejas dan aliran itu dijangka lebih lama berikutan ketiadaan minat belian baharu.

“Berikutan kesukaran saham untuk meningkat, keadaan sentimen itu kian lemah dan tidak banyak lonjakan untuk mencetuskan aliran peningkatan. Akibatnya, kami berpendapat aliran mendatar akan terus ketara dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut lima sen kepada RM8.67, Petronas Chemical turun 10 sen kepada RM7.44 manakala Tenaga Nasional, IHH dan Axiata rendah dua sen masing-masing kepada RM13.62, RM5.67 dan RM4.27.

Bagi saham aktif, Eduspec susut satu sen kepada 4.5 sen, Bumi Armada dan MNC Wireless masing-masing rendah setengah sen kepada 33.5 sen dan 11 sen manakala Jags, Sapura Energy dan Green Packet masing-masing untung setengah sen kepada empat sen, 29 sen dan 70 sen.

Indeks FBM Emas pula turun 2.38 mata kepada 11,250.04, Indeks FBMT 100 berkurangan 3.99 mata kepada 11,081.84 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 0.44 mata kepada 11,774.25.

FBM 70 pula menokok 24.80 mata kepada 13,957.35 manakala FBM Ace naik 1.21 mata kepada 4,573.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.52 mata kepada 15,434.89, Indeks Perladangan naik 3.70 mata kepada 6,726.15 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri sebaliknya susut 0.41 mata kepada 152.84.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )