Bursa Malaysia dibuka rendah susulan aktiviti pengambilan untung

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari kedua terakhir dagangan untuk tahun ini, susulan aktiviti pengambilan untung selepas indeks utama meningkat 7.06 mata pada penutupan Jumaat lepas.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.68 mata kepada 1,609.93 berbanding 1,610.61 pada penutupan Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka pada 1,609.45.

Jumlah dagangan sebanyak 172.23 juta saham bernilai RM42.35 juta.

Kedudukan pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 148 berbanding 93, manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,520 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Walaupun merosot pada pembukaan, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan aktiviti mengemas kini akaun hari tahun akan mendorong peningkatan BM KLCI hari ini.

“Memasuki hari kedua terakhir dagangan tahun ini, kami melihat lebih banyak aktiviti mengemas kini akaun dengan pasaran dilihat memanfaatkan persekitaran pasaran global yang memberangsangkan untuk membantu indeks utama ditutup pada akhir tahun ini pada kedudukan yang tinggi.

“Peningkatan juga akan disokong oleh kenaikan harga minyak sawit mentah yang melonjak melebihi RM3,000 setan, selain harga minyak mentah West Texas Intermediate yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan Jumaat lepas,” katanya dalam nota hari ini.

Secara teknikalnya, firma pembrokeran itu berkata dengan indeks utama mendekati tahap rintangan 1,621, ia menjangkakan penanda aras pasaran akan mudah melepasinya hasil sokongan berterusan institusi.

“Peningkatan seterusnya dilihat pada 1,635 manakala sokongan pada paras psikologi 1,600, diikuti paras 1,590,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank melonjak satu sen kepada RM8.62, Public Bank, Tenaga dan Petronas Chemicals masing-msing kekal pada RM19.28, RM13.26 dan RM7.36, manakala CIMB turun dua sen kepada RM5.28.

Bagi saham aktif, Dynaciate dan Dolphin International masing-masing meningkat setengah sen kepada lapan sen dan 15 sen, Bina Puri menokok tiga sen kepada 3.5 sen, TDM naik satu sen kepada 35.5 sen, manakala Eduspec susut setengah sen kepada 2.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 3.79 mata kepada 11,434.38, Indeks FBM Emas Shariah naik 4.31 mata kepada 12,059.35

FBM 70 menokok 38.67 mata kepada 14,221.70, Indeks FBMT 100 menambah 3.57 mata kepada 11,230.23 manakala FBM Ace menokok 17.92 mata kepada 5,143.18.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.26 dari satu mata kepada 153.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.57 mata kepada 15,645.01 manakala Indeks Perladangan meningkat 8.72 mata kepada 7,723.05.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )