Bursa Malaysia dibuka rendah susulan sentimen bercampur-campur

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan sentimen bercampur-campur

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka dengan sentimen bercampur-campur hari ini ketika jangkaan kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman bagi menangani pertumbuhan ekonomi yang perlahan, terus mempengaruhi pasaran.

Pada 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.25 mata kepada 1,536.91 daripada 1,539.16, semalam selepas dibuka 0.44 mata lebih rendah kepada 1,538.72 pagi ini.

Namun, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 155 berbanding 120 manakala 205 lain tidak berubah, 1,498 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 154.88 juta saham bernilai RM83.68 juta.

Mengulas perkembangan itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata Bursa Malaysia tidak terkecuali daripada aktiviti jualan selepas BNM memberi bayangan mengenai kemungkinan penurunan Kadar Dasar Semalaman atau OPR dilaksanakan tidak lama lagi selain faktor peningkatan bilangan mangsa COVID-19 yang mungkin menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Rentetan laporan negatif yang ketara, sentimen pasaran diunjur terus negatif dengan dagangan minggu ini ditutup lebih rendah. Keadaan itu boleh mengheret bursa tempatan ke arah tahap 1,535, dengan sokongan utama seterusnya terletak di tahap 1,515. Sebarang pemulihan yang berlaku akan menyaksikan peningkatan terhad pada paras rintangan 1,555.

“Walaupun FBM KLCI lemah, saham-saham berharga rendah sebaliknya terus memaparkan daya tahan berikutan aktiviti belian secara bergilir-gilir. Pada masa sama, kami turut melihat minat dagangan yang ketara terhadap sektor pembinaan berikutan laporan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura mungkin disambung semula,” katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia menyaksikan Maybank rugi tiga sen kepada RM8.43, Tenaga untung dua sen kepada RM12.60, Tenaga turun 14 sen kepada RM17.66 dan Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM6.47.

Bagi saham aktif, Ekovest naik 1.5 sen kepada 76 sen manakala Securemetric dan Netx Holdings masing-masing tidak berubah pada 15 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 5.59 mata kepada 11,018.30, Indeks FBM Emas Shariah naik 4.20 mata kepada 11,831.48 dan Indeks FBMT 100 turun 5.79 mata kepada 10,807.16.

FBM 70 meningkat 33.43 mata kepada 14,040.93 dan FBM Ace menokok 5.17 mata kepada 5,619.33.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.12 mata kepada 146.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 36.56 mata kepada 14,539.90 dan Indeks Perladangan menambah 24.14 mata kepada 7,315.29.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )