
Bursa Malaysia dibuka seketika sebelum menyusut
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum mula menyusut, didorong oleh kegiatan pengambilan untung di kebanyakan indeks merentasi pasaran.
Pada 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.58 mata kepada 1,513.24 daripada 1,520.82 pada penutupan urus niaga Khamis.
Indeks utama dibuka 3.08 mata lebih tinggi pada 1,523.90.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 218 berbalas 148 manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,608 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Seorang penganalisis berkata dalam kebimbangan berhadapan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia, pelabur terus ternanti-nanti lebih banyak pemangkin untuk pemulihan ekonomi.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam catatan penyelidikannya berkata bagi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) terus melonjak seiring dengan niaga hadapan kacang soya, sementara harga minyak mentah pula mencatatkan kerugian
Sektor perladangan mungkin menyaksikan peningkatan semula dengan para peniaga mengambil petunjuk daripada pengukuhan harga MSM.
“Selain itu, dijangkakan terdapatnya beberapa minat belian susulan bagi sektor sarung tangan kerana kes harian COVID-19 tempatan terus meningkat melepasi paras 10,000 tanda,” kata firma broker itu.
Dari sudut teknikal, ia berkata pelabur mungkin memantau tahap rintangan indeks utama pada 1,525-1,548, sementara tahap sokongan kekal pada 1,500.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.03, Public Bank susut satu sen kepada RM4.04, Petronas Chemicals merosot 14 sen kepada RM7.90, TNB dan CIMB masing-masing lebih rendah empat sen pada RM9.68 dan RM4.50 , sementara IHH jatuh lima sen kepada RM5.65.
Bagi saham aktif, LKL tidak berubah pada 31.5 sen, Pasukhas turun tiga sen kepada 16.5 sen dan Berjaya Land naik dua sen kepada 31 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 41.80 mata kepada 11,051.48 dan Indeks FBMT 100 turun 41.97 mata kepada 10,761.86 dan FBM ACE lebih rendah 26.81 mata kepada 7,176.04.
Indeks FBM Emas Syariah turun 60.41 mata pada 12,109.35 dan FBM 70 berkurangan 9.78 mata kepada 14,423.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 36.75 mata kepada 14,856.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.39 mata kepada 186.64 tetapi Indeks Perladangan untung 3.05 mata kepada 6,155.37.
– Bernama